DARI kiri, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan  MNRB Holdings Berhad, Mohd Din Merican, Rafe, Eddy Azly dan Ketua Perbankan Pengguna  CIMB,   Daniel Cheong   pada  majlis kerjasama strategik antara CIMB Islamic dan Takaful Ikhlas, semalam.
DARI kiri, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad, Mohd Din Merican, Rafe, Eddy Azly dan Ketua Perbankan Pengguna CIMB, Daniel Cheong pada majlis kerjasama strategik antara CIMB Islamic dan Takaful Ikhlas, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful Ikhlas) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dijangka mampu menjana sebanyak RM168 juta premium serta pertumbuhan 11 peratus tahun ke tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Eddy Azly Abidin berkata, pihaknya akan menjadi penyedia takaful am kepada pelanggan CIMB Islamic dengan memanfaatkan saluran pengedaran bank itu di 250 cawangan seluruh negara.

Katanya, Takaful Ikhlas dan CIMB Islamic yakin kerjasama strategik ini akan menjadi pemangkin perniagaan baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan yang disasarkan.

“Sebagai permulaan, kami akan menawarkan perlindungan kediaman dan motor termasuk perlindungan untuk pelanggan komersial seperti kebakaran, pembinaan, peralatan, pekerja, marin dan liabiliti.

“Selain itu, kami juga akan memperkenalkan insurans perjalanan termasuk perlindungan perjalanan haji pada masa akan datang dan memasukkan ke dalam platform dalam talian,” katanya pada sidang media selepas majlis kerjasama strategik antara CIMB Islamic dan Takaful Ikhlas di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Rafe Haneef.

Eddy berkata, tahun lalu industri takaful am meningkat 9.0 peratus dan ia dijangka positif tahun ini.

Sementara itu, Rafe berkata, CIMB Islamic dan Takaful Ikhlas akan menyediakan produk dan penyelesaian takaful am kepada pelanggannya dalam segmen komersial, peruncitan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, selain di rangkaian cawangan, untuk pertama kalinya pelanggan boleh membeli produk takaful ini melalui platform CIMB Clicks menjelang akhir 2019.

“Menerusi kerjasama ini juga kami dapat menawarkan lebih banyak produk takaful yang dapat memenuhi keperluan pelanggan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 11:41 AM