QI tetap anggap Nely teman istimewa.
QI tetap anggap Nely teman istimewa.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Ogos tahun lalu diberitakan hubungan cinta pasangan pelakon, Qi Razali dan Nelydia Senrose sudah berakhir. Namun, kedua-duanya selesa berdiam diri daripada bercerita punca perpisahan mereka.

Bagaimanpun, hubungan mereka kembali menjadi tanda tanya apabila Nelydia menghadiri majlis hari jadi anak saudara Qi tahun lalu. Tidak cukup dengan itu, Qi dan Nelydia juga dikatakan baru pulang bercuti dari Pulau Koh Lipe, Thailand.

Bagi Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, dia mengakui hubungannya dengan gadis berusia 22 tahun itu kembali pulih, namun enggan memberi sebarang penjelasan.

“Selama ini kami tidak pernah bermusuh dan saya akan tetap menganggapnya sebagai teman istimewa sampai bila-bila. Apabila kami baik semula, tak terlintas di hati ini nak memberikan sebarang kenyataan.

“Kalau nak tahu, beberapa hari selepas putus kami ada keluar bersama. Kami tidak pernah menyembunyikan perkara itu. Cuma, kali ini kami mahukan sedikit privasi berbanding sebelumnya apabila kerap berkongsi kisah peribadi,” katanya.

Jejaka yang bakal menginjak usia 39 tahun pada Ogos depan tidak mahu lagi terlalu memikirkan pandangan orang mengenai hubungan mereka.

“Sebelum ini kami banyak mendengar cakap-cakap orang sekeliling terutama peminat. Jadi, mulai sekarang kami cuba kawal perkara itu. Tidak salah memikirkan pandangan orang lain, tetapi jangan sampai mengorbankan keinginan diri sendiri.

“Sebagai manusia biasa, kami pun ada perkara yang nak dibuat berdasarkan kemahuan sendiri. Selepas ini saya malas nak ambil kisah apa orang cakap asalkan kami tahu batas hubungan,” katanya.

Tambah pelakon yang pernah popular menerusi drama Blogger Boy ini, Qi menganggap apa yang terjadi antara dia Nely tahun lalu adalah perkara biasa dalam sesebuah perhubungan.

“Bergaduh adalah perkara biasa. Selepas itu proses memujuk pula dan ia adalah norml. Rasa sayang saya terhadapnya masih ada. Saya tidak terkejut ketika keluar kenyataan mengatakan kami sudah putus.

“Saya ada bertanya dengannya, tetapi selepas dijelaskan baru saya faham. Cuma kesannya dilihat besar kerana membuatkan banyak pihak terkejut,” katanya.

Justeru kata Qi, tahun ini dia mahu berkongsi lebih banyak cerita mengenai kerjaya berbanding peribadi.

Konsert reunion Kumpulan OAG

Selain sibuk menjalani penggambaran program travelog Go Asean, Qi kini dalam fasa akhir bagi mengadakan konsert reunion kumpulan yang pernah dianggotainya iaitu OAG.

“Projek khas ini adalah anjuran syarikat saya sendiri iaitu Timeline Studios. Segalanya sudah siap dirancang, tinggal nak merealisasikannya saja. Insya-Allah konsert sempena 20 tahun penubuhan kumpulan ini akan diadakan sebelum Aidilfitri ini membabitkan anggota asal OAG,” katanya.

Berkenaan kerjaya lakonannya, Qi mengakui sukar memberi komitmen memandangkan jadual penggambaran program kendaliannya banyak dijalankan di luar negara.

“Saya masih mendapat tawaran berlakon drama, tetapi sukar nak bagi masa, tetapi sekiranya karya yang ditawarkan itu berkualiti, saya sanggup ambil. Mengacarakan program berbentuk travelog menjanjikan kepuasan tersendiri.

“Disebabkan saya minat berjalan, jadi saya dapat berkongsi pengalaman di negara orang dengan lebih santai dan bersahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 10:21 AM