OLIVI miliki sentuhan pemusnah yang diidamkan Selangor.
OLIVI miliki sentuhan pemusnah yang diidamkan Selangor.
Oleh Firdaus Hashim


Shah Alam: Pencarian rakan segandingan Patrick Ronaldinho Wleh untuk menerajui Selangor akhirnya terjawab apabila penyerang import dari Argentina, Mauro Olivi bakal melengkapkan kuota pemain import keempat skuad Red Giants musim ini.

Olivi yang berusia 33 tahun pernah beraksi dalam liga utama sekitar Amerika Selatan seperti Colo-Colo FC (2011-2014), Audax Italiano FC (2014-2015) dengan kedua-duanya dalam liga utama Chile sebelum berhijrah ke Leon de Huanuco FC yang beraksi di liga pertama Peru, musim lalu.

Berdasarkan rekod jaringan terakhir dimiliki dengan meledak 10 gol daripada 15 penampilannya bersama Leon musim lalu, Olivi nyata antara penyerang yang harus diberi perhatian pencabar lain dalam Liga M musim ini.

Namun reputasi hebat Olivi di padang sedikit tercalar apabila pernah ditangkap pihak berkuasa Chile pada 2011 susulan tindakannya memukul teman wanita yang juga seorang penari.

Bagaimanapun pengendali Selangor Zainal Abidin Hassan lebih mengutamakan sentuhan Olivi di padang daripada kehidupan peribadinya apabila menyifatkan kualiti pemusnah pemain itu faktor utama dia menjadi pilihannya.

“Apa yang mustahak adalah sentuhannya di depan gol. Kami sudah melihat aksi terakhirnya menerusi video yang dihantar ejen pemain itu. Berdasarkan rakaman aksinya pada perlawanan sekitar November lalu, jelas dia begitu menyerlah dan atas sebab itu kami berminat terhadapnya.

“Dia akan tiba esok (hari ini) atau lusa (esok). Saya mahu melihat dia bermain terlebih dulu selain perlu menjalani latihan perubatan.

“Jika semuanya berjalan lancar dan dia bebas daripada sebarang kecederaan, kami akan mendapatkan tandatangannya,” katanya pada sesi latihan, semalam.

Ujar Zainal, biarpun Olivi boleh dikatakan sudah berusia, bagi bekas pemain kebangsaan itu, ia bukan halangan besar untuk pemain berkenaan menyerlah dalam saingan liga tempatan.

“Bagi saya walaupun berusia 33 tahun, bisanya sebagai pemain dalam liga Amerika Latin itu sudah cukup memberi gambaran mengenai keupayaannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 8:30 AM