OLIVI (tengah) tekad bantu Gergasi Merah julang piala musim ini.
OLIVI (tengah) tekad bantu Gergasi Merah julang piala musim ini.
Oleh Firdaus Hashim


Shah Alam: Bekas penyerang utama kelab Colo-Colo FC dalam liga pertama Chile Mauro Olivi melengkapkan kuota keempat pemain import Selangor selepas pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak semusim bersama skuad Merah Kuning.

Olivi pemain kelahiran Argentina ini pernah bermain untuk beberapa pasukan terkenal di sekitar benua Amerika Selatan dengan kelab terakhirnya Leon de Huanuco pada Liga Peru.

Dia yang tiba bersama ejennya minggu lalu diberikan percubaan selama tiga hari bagi memikat hati pengendali Selangor Zainal Abidin Hassan selain wajib melepasi ujian kesihatan.

“Semalam saya tidak dapat tidur lena memikirkan masa depan bersama Selangor kerana bimbang tidak dapat meyakinkan jurulatih.

“Namun, pagi ini (semalam) semuanya berakhir selepas jurulatih dan pihak pengurusan memutuskan untuk mengambil khidmat saya dan bermain di sini selama semusim. Walaupun tempoh itu singkat, saya yakin ia cukup untuk tunjukkan kebolehan saya.

“Apapun, saya sudah tidak sabar turun beraksi sebagai pemain Selangor. Saya mahu membalas kepercayaan jurulatih dan pengurusan dengan membantu pasukan menjulang piala,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.

Sementara itu, Zainal meletakkan kepercayaan besar kepada bintang barunya itu untuk muncul selaku peledak penting selain seorang lain awang import dari Liberia Patrick Ronaldinho Wleh yang bakal menjadi rakan segandingan Olivi.

“Harapan saya begitu besar terhadapnya. Saya mahu dia cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan lain.

“Saya juga ingin melihat dia menjalankan tugasnya sebagai penyerang yang mampu memberi kelainan dan impak berkesan di bahagian depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:07 AM