Kuala Terengganu: Paras air di dua sungai utama di Terengganu mencatat paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah, berkata sungai berkenaan ialah di Setiu dan Hulu Terengganu.

“Di Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu, air meningkat 8.46 meter melepasi paras bahaya 8.40 meter.

“Sementara paras air di Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu adalah setinggi 20.37 meter melepasi paras bahaya 20 meter,” katanya dalam kenyataan menerusi portal bencana e-Tindakan Terengganu.

Beliau berkata, paras air juga sedang meningkat di beberapa sungai lain di Setiu, Besut dan Marang.

Di Setiu, bacaan paras air di Kampung Besut pada 3 petang tadi ialah 16.68 meter melepasi paras berjaga-jaga (16.40 meter) dan di Jambatan Permaisuri 8.21 meter melebihi paras amaran (8.20 meter).

Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan pula mencatat bacaan setinggi 2.76 meter, melepasi paras amaran 2.30 meter manakala Sungai Besut di Jambatan Keruak mencatat 33.34 meter, melepasi paras berjaga-jaga 33.00 meter.

Roslina berkata paras air juga dilaporkan sedang meningkat di beberapa sungai lain, namun belum mencapai paras bahaya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 9:46 PM