Pemandangan Udara Keadaan kediaman yang dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Gong Tok Nasek. FOTO GHAZALI KORI
Pemandangan Udara Keadaan kediaman yang dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Gong Tok Nasek. FOTO GHAZALI KORI
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Hujan berterusan yang melanda Terengganu sejak Ahad menyebabkan paras air di beberapa sungai utama di negeri ini terus meningkat.

Setakat jam 4 petang, dua sungai direkodkan melepasi paras bahaya, satu melepasi paras amaran manakala tiga lagi melepasi paras waspada.

Di Setiu, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, yang mencatatkan bacaan 8.63 meter (m) direkodkan melepasi paras bahaya berbanding paras normal 5 meter.

Selain itu, paras air sungai di parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus juga melepasi paras bahaya.

Ketika ini, paras air di sungai berkenaan adalah 4.22 m berbanding paras normal 1.5 meter.

Sementara itu, Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman kini melepasi paras amaran dengan bacaan 1.94 m.

Tiga sungai yang kini mencatatkan bacaan melepasi paras waspada adalah di dua di Setiu dan satu di Marang.

Sungai Nerus di Kampung Bukit (F1) dan Sungai Setiu di Kampung Besut di daerah Setiu yang melepasi paras waspada masing-masing mencatatkan bacaan 11.74 m dan 16.17 m.

Di Marang, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan pula mencatatkan bacaan 2.02 m sekali gus melepasi paras waspada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 4:48 PM