Oleh Mary Victoria Dass

Kota Tinggi: Dua remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas di Pantai Desaru, Bandar Penawar 12 tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata, mangsa yang dikhuatiri lemas adalah N Harishwaran dan J Moventhan.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika dua remaja berkenaan yang berasal dari Taman Bukit Indah, Nusajaya mandi beramai-ramai di situ bersama rakan mereka.

Menurutnya, ketika kejadian, ombak di pantai Desaru mencecah ketinggian kira-kira empat meter.

"Bomba menerima panggilan pada 12.35 tengah hari dan jentera sampai di lokasi kejadian pada 12.44 tengah hari.

"Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan membabitkan 17 anggota termasuk Bomba dan polis.

"Kami difahamkan pengurusan pantai sudah meletakkan bendera merah sebelumnya sebagai amaran berikutan ombak kuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 5:41 PM