ANGGOTA bomba melakukan pencarian seorang lelaki dipercayai warga Singapura yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hanyut ketika beriadah di Pantai The Westin Desaru Coast, Desaru, hari ini.  FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba melakukan pencarian seorang lelaki dipercayai warga Singapura yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hanyut ketika beriadah di Pantai The Westin Desaru Coast, Desaru, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Lelaki dipercayai warga Singapura dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hanyut ketika sedang beriadah di Pantai The Westin Desaru Coast, Desaru di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Isaac Kelvin Tan Lee Thong, 49, dilaporkan hilang, manakala anaknya, Gabriel Ian Tan Way Ping, 16, berjaya diselamatkan orang awam.

Komander Operasi Bomba, Masri Ibrahim berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, tujuh anggota BBP Sungai Rengit dan tiga anggota BBP Mersing dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.33 tengah hari.

"Berdasarkan maklumat orang awam mangsa dipukul ombak ketika sedang beriadah di gigi air sebelum hanyut.

"Seorang lelaki dewasa masih hilang, manakala seorang remaja lelaki berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum kita tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) membuat pencarian dengan menggunakan teknik pencarian permukaan.

Katanya, operasi pencarian masih giat dijalankan dan Gabriel Ian sudah dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut.

"Ketika kejadian, bendera merah sudah dipasang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 7:28 PM