LOKASI kejadian membabitkan dua remaja yang dikhuatiri lemas.
LOKASI kejadian membabitkan dua remaja yang dikhuatiri lemas.
Oleh Mary Victoria Dass

Kota Tinggi: Keseronokan sepuluh remaja mandi di Pantai Desaru di Bandar Penawar, di sini, semalam, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa yang dikhuatiri lemas dikenali sebagai N Harishwaran, 15, dan rakannya, J Moventhan, 15.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, kedua-dua mangsa dari Taman Desa Jaya, Tebrau ke pantai berkenaan dengan menaiki lima motosikal.

Katanya, kumpulan remaja terbabit tiba di pantai kira-kira jam 11 pagi sebelum hujan dan angin kencang melanda kawasan itu.

“Lapan daripada mereka berjaya berenang ke pantai, namun dua lagi hilang. Ada saksi mendakwa melihat dua remaja terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Mohd Fadli Ismail berkata, ketika kejadian, ombak di Pantai Desaru pada ketinggian kira-kira empat meter.

“Bomba menerima panggilan pada jam 12.35 tengah hari dan jentera sampai di lokasi pada jam 12.44 tengah hari.

“Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan membabitkan 23 anggota termasuk bomba, marin dan polis.

“Kami difahamkan pengurusan pantai sudah meletakkan bendera merah sebagai amaran berikutan ombak kuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:15 AM