Arsenal berada di puncak Liga Perdana Inggeris ketika kita melangkah ke ambang 2016 dan asas kejayaan mereka lebih terbukti musim ini.

Ketibaan penjaga gol bernilai £10 juta (RM64 juta) dari Chelsea, Petr Cech (gambar) berjaya memastikan kubu Arsenal dipertahankan sebaik mungkin.

Cech yang mencatat rekod 170 perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa bolos ketika menentang Bournemouth isnin lalu mendedahan sebahagian daripada rahsia kehebatan pertahanan mereka musim ini adalah hasil skil menguasai pelbagai bahasa.

“Saya bercakap dengan pertahanan (Hector Bellerin, Nacho Monreal) dalam bahasa Sepanyol, (Laurent) Koscielny dalam bahasa Perancis dan Per (Mertesacker) dalam bahasa Inggeris kerana dia adalah sama seperti saya,” kata Cech.

“Ada kalanya pemain asing tidak tahu apa yang anda katakan.

“Itulah masanya apabila anda sedar bahawa adalah lebih mudah bertutur dalam bahasa mereka daripada berharap mereka faham. Ia boleh berlaku.

“Anda perlu konsisten dengan kerja anda, konsisten dengan persembahan kerana jika tidak anda tidak akan dapat lebih banyak peluang bermain seperti yang diinginkan, lebih kurang permainan yang anda sertai, lebih kurang peluang anda mencatat perlawanan tanpa bolos.”

Pemain berusia 33 tahun itu mencatat rekod tanpa bolos dalam hanya 352 perlawanan ketika skuad Arsene Wenger memburu gelaran pertama sejak 2004.

Memandang ke hadapan, Cech berharap dapat mengekalkan rekod lain apabila Gunners berdepan ujian mencabar apabila bersaing dalam 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara apabila menentang gergasi La Liga Barcelona Februari ini.

Bintang Barca Lionel Messi tidak pernah menewaskan Cech dalam lapan pertemuan setakat ini dan penjaga gol itu menambah: “Memang hebat, tidak ramai orang boleh berkata mereka bermain lapan perlawanan atau berapa minit menentang Messi dan dia masih belum menemui jalan untuk melepasi saya.

“Namun jika dia menjaringkan gol dan kami mara ke pusingan berikutnya maka itu tidak lagi penting. Apa yang penting adalah kami memastikan bahawa kami memberi peluang untuk mara ke pusingan berikutnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 8:07 AM