AHMAD Sarji melancarkan logo dan tagline baru Radio IKIM. FOTO Rohanis Shukri
AHMAD Sarji melancarkan logo dan tagline baru Radio IKIM. FOTO Rohanis Shukri
Amirul Haswendy Ashari


BERSEMPENA ulang tahun Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang ke-27, radio IKIM diberi penjenamaan baru dikenali Radio IKIM bermula hari ini.

Radio IKIM sebelum ini dikenali sebagai IKIM fm sejak ia dirasmikan pada Julai 2001.

Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, penjenamaan semula Radio IKIM adalah perkara penting sebagai satu strategi untuk mengukuhkan jenama dan meningkatkan pendengar golongan muda.

"Beberapa pendekatan menerusi penjenamaan semula dilaksanakan iaitu memperkenalkan logo dan 'tagline' baru, menukar sebutan IKIM fm kepada Radio IKIM, format baru program bual bicara, memperkenalkan penyampai dan gandingan baru selain memperkasakan strategi digital Radio IKIM.

"Logo baru yang dilancar diharapkan dapat menyerlahkan imej korporat Radio IKIM dengan sebutan dan reka bentuk logo lebih mudah, jelas, menarik dan segar," katanya.

Katanya, selain itu, 'tagline' baru dipilih iaitu Inspirasi Inforia Islami berbanding Pilihan Utama Anda menggambarkan siaran Radio IKIM berperanan menyampaikan kefahaman Islam selain menyiarkan hiburan mendidik jiwa berasaskan syariah.

Tahun ini, Radio IKIM menampilkan gandingan penyampai baru untuk beberapa segmen popular dan baru.

Penyampai berpengalaman, Suffian Amrin akan bergandingan bersama penyampai baru, Hazwan Syah untuk segmen Warna Pagi.

Penyampai Syafiq Salleh bergandingan dengan Datin Mona Jasman untuk segmen Destinasi, Norhayati Paradi, Siti Rohani Surani untuk segmen Aspirasi.

DJ Faiz Othman pula mengendalikan segmen Carta Xpress-C, Apa Kata Anda, Pengembara Muslim dan Syamail ar-Rasul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 8:50 PM