PEMAIN Iskandar Tropers bergambar kenangan selepas muncul juara.
PEMAIN Iskandar Tropers bergambar kenangan selepas muncul juara.
Oleh Zul Ikhwan Muhammad

Mersing: Pasukan Iskandar Tropers muncul juara Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan Cabaran Piala Monsun edisi keempat selepas menumpaskan Johor Junior 7-3 pada perlawanan akhir sengit di Stadium Mini Mersing, kelmarin.

Berikutan kejayaan itu, Iskandar Tropers membawa pulang wang tunai RM4,000 beserta trofi dan pingat, manakala Johor Junior, RM3,000 serta pingat.

Tempat ketiga milik Beringin Rendang, Johor Bahru selepas menumpaskan UTM Brother Hood 5-0. Masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 serta hadiah iringan.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Pegawai Daerah Mersing Mohd Adib Azhari Daud.

Bagi kategori B-16, pasukan pilihan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) B-15 baru-baru ini, sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan menewaskan Akademi Ragbi Johor 36-12.

KL Saracens ketiga dan SMK Sri Mersing B keempat.

SMK Sri Mersing turut mempamerkan penguasaan mereka bagi kategori bawah 14 apabila muncul juara selepas menumpaskan KL Saracens 36-0.

Malah pemain pasukan itu Mohd Syazwan Aiman Abd Rani, 15, turut dinobatkan pemain terbaik. Pasukan Bukit Beruang yang mengalahkan Bengals ‘A’ 24-5, ketiga.

Juara bagi setiap kategori peringkat umur membawa pulang RM1,000, trofi serta pingat, manakala pemenang kedua tunai RM700 serta pingat.

Sebanyak 24 kelab dan sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan dua hari anjuran Majlis Daerah Mersing (MDM) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 10:05 AM