KESINAMBUNGAN kerjasama pereka UK bersama jenama terkemuka Jepun kekal sederhana, tapi unik.
KESINAMBUNGAN kerjasama pereka UK bersama jenama terkemuka Jepun kekal sederhana, tapi unik.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Meneruskan kesinambungan kejayaan rekaan pakaian sopan dan berciri Muslimah, Uniqlo memperkenalkan edisi terbaru koleksi Uniqlo x Hana Tajima bagi musim bunga/panas 2016.

Koleksi hasil kerjasama pereka dari United Kingdom (UK) Hana Tajima itu direka bagi melengĀ­kapi konsep LifeWear Uniqlo untuk wanita tampil aktif dan bergaya di mana saja tapi masih mengekalkan kesederhanaan dan kesopanan.

Koleksi terbaru ini juga pasti membuatkan si fashionista tampil berani dengan rekaan unik dan menepati gaya hidup serta keperluan wanita yang mementingkan pemakaian sopan.

Rekaan yang santai dan boleh disuaipadankan mengikut acara, menyerlahkan gaya si pemakai dengan potongan inovatif, warna hidup dan corak yang unik.

Antara Koleksi Uniqlo x Hana Tajima yang menarik perhatian ialah skarf lebar yang boleh digayakan dengan pelbagai cara seperti turban, denim santai, blaus rayon, gaun panjang dan semestinya anak tudung yang menggunakan teknologi terkenal mereka, AIRism, sejenis material yang menyejukkan.

Keselesaan adalah perkara utama dalam koleksi ini, sesuai dengan keadaan cuaca tropikal di sini dan gaya hidup wanita moden yang lincah namun sopan.

Selain itu rekaan versatil baju kurung juga dapat digayakan sebagai tunik yang dipadankan dengan seluar atau gaun.

Koleksi menarik ini boleh didapati di semua rangkaian Uniqlo di Malaysia dan gedung terpilih di Singapura, Indonesia dan Thailand bermula Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 10:11 AM