Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tidak benar dan tiada isu. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Ibrahim mengakui desas-desus kemenangan Selangor pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu akan ditarik balik tidak benar sama sekali.

Menurutnya, ia perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab dan iri hati dengan kejayaan Selangor apabila menyatakan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic itu membuat kesilapan dengan membariskan Nazmi Faiz Mansor (gambar) yang sepatutnya digantung perlawanan kerana menerima kad kuning.

“Saya tidak tahu dari mana datang berita seperti ini. Perkara ini bukan satu isu. Mengikut peraturan pertandingan seseorang pemain akan digantung satu perlawanan apabila menerima tiga kad kuning di peringkat kumpulan Piala Malaysia. Selepas memasuki peringkat kalah mati (suku dan separuh akhir) kad kuning dari peringkat kumpulan tidak diambil kira,” katanya.

Jelasnya, Nazmi hanya menerima dua kad kuning di peringkat kumpulan dan tidak menerima kad kuning di peringkat kalah mati.

“Di peringkat kalah mati seseorang pemain hanya akan digantung apabila menerima dua kad kuning, sedangkan Nazmi tidak menerima sebarang kad kuning pada suku akhir dan separuh akhir.

“Ketika suku akhir bertemu Sarawak tiga pemain menerima kad kuning iaitu Andik Vermansah, Raimi Md Nor dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham. Pada separuh akhir kedua bertemu Pahang hanya Hadi Yahaya dan Leandro Dos Santos saja menerima kad kuning,” katanya.

Kata Rosman, Selangor sentiasa mengambil berat mengenai pemain yang menerima kad kuning kerana penolong jurulatih, Mohd Rosdy Nazir diberikan tugas untuk memantau perkara berkenaan setiap perlawanan.

“Ini hanya viral di laman sosial, pelbagai perkara mula timbul sejak kami muncul juara dan masuk ke perlawanan akhir bukan ini saja. Ia sama seperti khabar angin penjualan tiket perlawanan akhir baru-baru ini kononnya masih ada baki tiket belum terjual.

“Saya nasihatkan kepada semua supaya jangan percaya khabar angin dan hanya mendapat berita sahih melalui laman web rasmi kami dan juga di laman sosial rasmi, Facebook,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tidak ada sebarang mesyuarat jawatankuasa hari ini untuk membincangkan mengenai isu kad kuning seperti yang digembar-gemburkan.

“Banyak media menghubungi saya. Ini hanya berita palsu dan tidak benar. Nazmi tidak pernah menerima kad kuning pada aksi kalah mati Piala Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:45 AM