ZAHID Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan ucapan di Pejabat Cikgu Pencen dan Balai Lu'lu hari ini. FOTO Bernama
ZAHID Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan ucapan di Pejabat Cikgu Pencen dan Balai Lu'lu hari ini. FOTO Bernama
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Komitmen kerajaan membuka program matrikulasi dan asasi untuk calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada semua kaum tidak akan menjejaskan kuota pelajar Bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun agak mustahil bagi kerajaan Madani untuk memberi hak sama rata kepada semua kaum, namun ia perlu dilakukan tanpa menghilangkan keistimewaan orang Melayu.

Katanya, ada pihak yang membuat pertikaian kononnya jika ia dilaksanakan akan mengecilkan kuota untuk calon Bumiputera.

"Perkara berkenaan sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet beberapa minggu lalu selepas pelajar cemerlang bukan Bumiputera dilihat seperti dinafikan hak untuk menyertai program matrikulasi dan asasi.

"Tambahan pula, kita faham tentang Perkara 153 (Perlembagaan) yang mana memberi perlindungan serta keistimewaan untuk orang Melayu tanpa mengetepikan bangsa lain," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perayaan 30 Tahun Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Negeri Kelantan (5PMCK) di Perkarangan Pejabat Cikgu Pencen dan Balai Lu'Lu', Jalan Pintasan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Yang Dipertua 5PMCK, Datuk Idris Muhamood.

Media sebelum ini melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuota Bumiputera akan terus dipertahankan biarpun kerajaan mengumumkan keputusan memberi jaminan tempat di matrikulasi kepada calon cemerlang SPM tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Perdana Menteri berkata, sejak pengumuman itu dibuat, keputusan terbabit menjadi bualan dan polemik serta menghangatkan suhu politik

Pada majlis sama, Ahmad Zahid mengumumkan bantuan dana sebanyak RM50,000 dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan RM50,000 dalam bentuk zakat daripada Felcra Berhad kepasada 5PMCK.

Menurutnya peruntukan itu bertujuan untuk membantu mereka menyiapkan bangunan persatuan yang tertangguh akibat kekangan kewangan selain sebagai tanda komitmen kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap pesara guru.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 1:26 PM