ANWAR bergambar bersama masyarakat India pada Program Ramah Mesra bersama Masyarakat India Pulau Pinang di Dewan Serbaguna Seberang Perai Arena hari ini.
ANWAR bergambar bersama masyarakat India pada Program Ramah Mesra bersama Masyarakat India Pulau Pinang di Dewan Serbaguna Seberang Perai Arena hari ini.
M Hifzuddin Ikhsan


Seberang Jaya: Kerajaan sedia menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar India memasuki program matrikulasi serta Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menjamin masa depan mereka di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu adalah antara usaha kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah yang menghimpit masyarakat India secara berperingkat.

"Ada rayuan agar pelajar India diberikan ruang lebih besar dalam pendidikan TVET bagi menyelesaikan isu pengangguran dan masalah sosial.

"Ini akan membolehkan tekanan kemiskinan dalam kalangan masyarakat India di negara ini diatasi secara berperingkat," katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Pulau Pinang di sini, hari ini.

Anwar berkata, beliau juga sudah meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk membentuk jawatankuasa khas menilai kaedah penawaran penempatan pelajar ke matrikulasi dan program pra-universiti kepada pelajar cemerlang.

"Pasukan khas ini akan melihat kepada ruang lebih banyak diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera, termasuk anak masyarakat India yang cemerlang. Menteri dijadual memberikan laporan awal mengenai pelan ini dalam tempoh satu dua minggu ini.

"Ini kerana kita tidak mahu anak cemerlang dinafikan hak dalam sistem pendidikan negara," katanya.

Katanya, pelaksanaan program ini akan dilakukan tanpa mengenepikan sistem kuota yang dikekalkan kepada pelajar Melayu dan Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 8:36 PM