GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Seorang lelaki didakwa di dua Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menyebabkan kematian secara tidak sengaja ke atas rakannya, memiliki senjata api dan butir peluru amunisi tanpa lesen sah bulan ini.

Tertuduh, Sali Hashim, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan gopoh sehingga menyebabkan kematian ke atas Mohd Izzwan Ahmad Shakri.

Kesalahan dilakukan di Hutan Simpan Sungai Gabai, Batu 18, Ulu Langat pada 4.30 pagi, 6 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki selaras senapang patah jenis Stevens tanpa permit sah.

Kesalahan itu dilakukan di tepi kawasan Hutan Simpan Sungai Gabai, Batu 18, Ulu Langat pada jam 12 tengah hari 6 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8 akta sama yang membawa hukuman tidak lebih tujuh tahun penjara atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam satu lagi pertuduhan dibacakan di mahkamah majistret berasingan, tertuduh didakwa memiliki tujuh butir peluru amunisi tanpa lesen sah.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 2861, Batu 23 Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 11.30 pagi, 8 Julai lalu.

Tertuduh, didakwa mengikut Seksyen Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur liyana Mohd Sulaiman dan Nurul Husna Amran sementara tertuduh diwakili peguam Sheron Feddrin.

Siti Nur Liyana memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan itu manakala Nurul Husna memohon wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sheron kemudian memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan kakaknya hadir sebagai penjamin.

Muhammad Noor Firdaus kemudian menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala Syahrul Sazly menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos ini sebagai tarikh sebutan kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, lelaki maut dipercayai tertembak senapang api yang terpelanting dari tangan rakan dalam kejadian di kawasan hutan berhampiran Sungai Gabai, 6 Julai lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan bersama tiga rakannya masuk ke lokasi itu untuk ke kawasan kebun durian di atas lereng bukit yang terletak kira-kira dua kilometer perjalanan.

Siasatan mendapati ketika dalam perjalanan seorang rakan mangsa yang membawa senapang patah tergelincir di lereng bukit.

Berita berkaitan:

  • Rakan mangsa tembak direman
  • Lelaki maut tertembak senapang rakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 2:32 PM