GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sarah Zulkifli


SUAMI isteri warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM104,600 milik seorang pesara Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berhubung bayaran pakej haji, tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Razinah Ayob, 63, dan Harun Mohd Seh, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan bersama-sama di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Pasangan itu yang juga pemilik syarikat Haji Harun Seh Umrah dan Tours Sdn Bhd kelihatan tenang sepanjang prosiding berjalan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan curangnya menyalahgunakan harta milik Zahari Abdullah, 61, bagi tujuan bayaran pakej haji 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, antara 2 Disember 2016 dan 9 Jun 2017.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin menawarkan jaminan masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan ke mahkamah.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Nur Izzah Mohd Tahir memohon jaminan rendah berikutan kesihatan pasangan itu yang kurang stabil serta bergantung kepada ubat-ubatan.

“Untuk makluman mahkamah, mereka sudah menjalankan perniagaan ini selama 20 tahun dan ini adalah kes pertama dituduh.

“Saya mohon agar pasport mereka tidak ditahan kerana ia diperlukan untuk menjalankan perniagaan keluarga,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 September depan sebagai sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan kedua-duanya melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes dihadapi mereka selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 9:32 PM