GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tukang cat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menyimpan kabel komunikasi curi milik penduduk sebuah pangsapuri.

Tertuduh, Fathul Adzim Ahmad, 24, membuat pengakuan itu sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 26 Oktober depan untuk fakta dan hukuman selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim bagi menyediakan fakta kes.

Mengikut pertuduhan tertuduh didapati dengan curang menyimpan kabel komunikasi seberat 0.5 gram milik penduduk Pangsapuri Peringgit Indah Blok C yang juga harta awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 September lalu, kira-kira jam 2.20 petang di pangsapuri berkenaan dan dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Muhammad Nazrin mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, namun dirayu peguam Ishak Mohd Kari dengan alasan jumlah ditawarkan cukup besar buat tertuduh yang hanya bekerja kontrak.

Katanya, pendapatan tertuduh tidak menentu selain menanggung dua anak berusia dua tahun dan 11 bulan serta isteri yang tidak bekerja dan hamil enam bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,800 dan kes untuk fakta dan hukuman pada 26 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:01 PM