SEKIRANYA berjaya, Eclimo akan digunakan secara meluas.
SEKIRANYA berjaya, Eclimo akan digunakan secara meluas.
Oleh Afiq Hanif


Kira-kira setahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan rangka tindakan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rangka tindakan itu berjaya dihasilkan dengan kerjasama dan sokongan padu daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta Malaysian Green Technology Corp (GreenTech).

Ia dirangka untuk pelaksanaan dalam tempoh dua tahun bermula 2014 hingga 2015 yang mengandungi isu, cabaran serta strategi untuk mengatasi cabaran dalam pelaksanaan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau PDRM.

Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) PDRM menjadi antara bidang tumpuan utama dalam pelaksanaan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau PDRM yang menyasarkan perolehan kelengkapan atau peralatan berteraskan teknologi hijau.

Program yang mula dilaksanakan pada tahun 2014 membabitkan kos implikasi kewangan sebanyak RM30.7 juta atau kira-kira 15 peratus daripada peruntukan keseluruhan yang dibelanjakan iaitu RM204.9 juta.

Peratus perolehan hijau ini adalah daripada sasaran yang ditetapkan pada tahun 2014 iaitu 2.5 peratus.

PDRM menjadi salah satu daripada enam kementerian atau jabatan kerajaan yang terpilih sebagai agensi perintis dalam melaksanakan pelan tindakan jangka pendek GGP dibangunkan Kementerian Kewangan bagi tujuan pelaksanaan GGP kebangsaan.

Bagi merancakkan program pelaksanaan rangka tindakan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau PDRM, sejumlah 42 jawatankuasa utama di pering­kat Bukit Aman, kontinjen, briged, maktab, formasi dan pusat latihan dilaksanakan.

Berdasarkan pelaksanaan yang teratur, PDRM menjangkakan pencapaian perolehan hijau kerajaan akan menjangkau sehingga 20 peratus atau RM40 juta untuk tahun ini yang merangkumi lebih daripada 100 Pusat Tanggungjawab (PTJ) PDRM sedia ada.

Menerusi program kesedaran yang dilancarkan secara sistematik dan teratur, jawatankuasa yang dibentuk PDRM menjang­kakan budaya amalan hijau ini akan mendatang­kan faedah yang besar dari segi penjimatan sebanyak 10 peratus ke atas perbelanjaan utiliti (elektrik dan air) PDRM bagi tahun 2015.

Program rangka tindakan PDRM juga me­nyasarkan pengauditan tenaga kepada empat bangunan PDRM iaitu balai polis TTDI, IPD Serdang, IPK Selangor (ba­ngunan lama) dan Menara 2, Ibu Pejabat Bukit Aman.

Pengauditan tenaga ini bertujuan untuk melihat indeks penggunaan tenaga setahun dan mancadangkan tindakan pembaikan/pengubahsuaian yang perlu diambil agar bangunan itu berada dalam kategori penggunaan tenaga yang berasaskan bangunan hijau.

Daripada empat ba­ngunan yang diaudit, Balai Polis TTDI sedang mendapatkan penarafan berdasarkan cadangan audit itu yang dilakukan pada tahun 2014.

PDRM menjangkakan selepas tindakan pembaikan, Indeks Tenaga Bangunan (BEI) dapat diturunkan daripada 81 kepada 55 (kHw/m2/year).

Pengurangan seba­nyak 35 peratus itu dijangka akan diperoleh pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, antara inisiatif hijau baru termasuk kenderaan hibrid seperti motosikal peronda Skuad Polis Aman Wanita (AMANITA).

“Motosikal elektrik membantu pelaksanaan konsep hijau, seterusnya membantu mengurang­kan penggunaan karbon dioksida dalam kalangan agensi awam,” katanya.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, PDRM masih belum mendapatkan kelulusan bagi kereta peronda hibrid.

“Kami sudahpun menguji sistem hibrid Revolo yang dipasang pada kereta peronda dan hasilnya juga diterima positif,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan itu memerlukan soko­ngan perkakasan seperti bateri, namun PDRM sudah bersedia melaksanakannya. Mengenai motosikal elektrik Eclimo, PDRM kini memiliki 33 unit skuter itu bagi tujuan penugasan program AMANITA.

Perbandingan kos peng­gunaan skuter elektrik berbanding skuter konvensional berasaskan jarak 100km.

Pengunaan skuter elek­trik eclimo tidak meng­gunakan petrol ataupun minyak pelincir iaitu peng­gunaanya 100 peratus hijau tanpa pengeluaran karbon, sekali gus tiada pencemaran udara dan pencemaran bunyi.

Paling menarik, ia ha­nya menggunakan tenaga yang cekap, tiada asap dan menyediakan persekitaran yang sihat serta kos operasi rendah dalam jangka panjang.

Berdasarkan penggunaan 100km sehari selama setahun, sebuah skuter Eeclimo dapat menjimat­kan pelepasan sebanyak 2,580kg karbon dioksida ke udara berbanding peng­gunaan motosikal yang menggunakan petrol (1 liter petrol me­ngeluarkan 2.36kg CO2).

Kajian impak akan dibuat selama enam bulan ke atas penggunaan skuter elektrik itu untuk tujuan kesesuaian penggunaan selanjutnya.

Bagi Ketua Projek Pelaburan Pemasaran Greentech, Muhd Muhtazam Noor Din, Balai Polis TTDI sesuai untuk pelaksanaan program hijau selepas laporan audit dijalankan agensinya.

“Ia dapat dilakukan dengan beberapa komponen penting yang memerlukan tenaga seperti lampu dan pendingin hawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 9:36 AM