Kuala Lumpur: Tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah mengalami kelewatan menyebabkan golongan sasar lambat mendapat manfaat daripadanya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2014 Siri 1, terdapat tiga projek PPR mengalami kelewatan iaitu PPR Pekan Kinarut di Papar, PPR Kampung Semarak di Tawau dan PPR Lintas Sabuga di Sandakan membabitkan 1,725 unit dengan kos asal berjumlah RM140.99 juta.

“Projek itu disiapkan antara 624 hingga 2,504 hari selepas menerima kelulusan tempoh lanjutan masa (EOT). Namun begitu, kelewatan kelulusan EOT menyebabkan projek itu lewat disiapkan sehingga menyebabkan golongan sasar tidak mendapat manfaat daripada perkhidmatan disediakan kerajaan.

“Kelewatan itu juga membuatkan satu projek mengambil masa melebihi enam tahun untuk disiapkan daripada tarikh siap asal,” katanya.

Laporan itu berkata, beberapa kualiti kerja yang dilaksanakan kontraktor tidak memuaskan sehingga satu pembaikan perlu diambil selepas lawatan dan pemerhatian oleh pihak Audit .

“Sebahagian reka bentuk pembinaan yang sudah diluluskan oleh Pegawai Penguasa dan dilaksanakan oleh kontraktor adalah tidak praktikal, tidak lengkap dan tidak sesuai,” katanya.

Menurutnya, selain itu pemilihan penghuni dan pengisian unit rumah yang dilaksanakan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah tidak memuaskan bagi PPR Pekan Kinarut dan Taman Semarak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:57 AM