Menara Kembar Bank Rakyat. - FOTO NSTP
Menara Kembar Bank Rakyat. - FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Bank Rakyat menggandakan tawaran had Pembiayaan Peribadi-i kepada RM400,000 berbanding RM200,000 sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, penambahan had pembiayaan ini adalah inisiatif Bank Rakyat dalam memastikan ketersediaan kemudahan pembiayaan berlandaskan Syariah bagi memenuhi keperluan aliran tunai masyarakat.

"Di samping sebagai tanda keprihatinan dan ihsan terhadap kesejahteraan pelanggan, pelaksanaan ini juga adalah bagi menghargai keyakinan pelanggan kepada produk dan perkhidmatan Bank Rakyat selama ini yang mana dilihat sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

"Seiring dengan tawaran semasa di pasaran ketika ini, langkah ini juga jelas menunjukkan komitmen Bank Rakyat dalam usahanya bagi meningkatkan lagi portfolio pembiayaan runcit," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Bank Rakyat sentiasa bersedia untuk menawarkan kemudahan pembiayaan pada kadar keuntungan yang kompetitif bagi memastikan ia kekal mampan sebagai salah satu institusi kewangan Islam sepenuhnya yang terbesar di Malaysia.

Bagaimanapun, Mohammad Hanis berkata, Bank Rakyat menawarkan jumlah pembiayaan yang bersesuaian dengan tahap kewangan pelanggan bagi mengelakkan mereka terbeban di kemudian hari.

Selain menawarkan Pembiayaan Peribadi-i, Bank Rakyat turut menawarkan produk pembiayaan runcit patuh Syariah antaranya Pembiayaan Kenderaan-i, Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Pajak Gadai-i serta pembiayaan perniagaan seperti Pembiayaan Mikro-i dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 4:09 PM