MORATORIUM automatik ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai lalu dan tidak tertunggak lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan.
MORATORIUM automatik ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai lalu dan tidak tertunggak lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan.

BANK Rakyat mula menawarkan bantuan moratorium selama enam bulan kepada pelanggannya bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, tawaran itu terbuka kepada pelanggan individu daripada golongan B40, M40 dan T20, semua perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Tiada dokumen diperlukan dan semua permohonan akan diberi kelulusan automatik sebaik sahaja diterima, tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

"Selain itu, rekod laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan juga tidak akan terjejas sekiranya mereka memilih untuk menangguhkan bayaran pembiayaan mereka," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, moratorium automatik ini hanya ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai lalu dan tidak tertunggak lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan moratorium diserahkan kepada bank.

"Setakat Jun lalu, Bank Rakyat menerima jumlah keseluruhan sebanyak 634,043 permohonan penangguhan bayaran pembiayaan daripada pelanggan individu serta perniagaan dan dijangka dengan pakej baharu moratorium yang diperkenalkan jumlah ini akan terus meningkat, sekali gus dapat membantu memulihkan aliran tunai mereka yang terkesan ketika ini," katanya.

Sementara itu, beliau menyeru pelanggan yang menghadapi kesukaran membuat pembayaran pembiayaan untuk tampil ke hadapan dengan menghubungi bank bagi mendapatkan bantuan awal dan khidmat nasihat.

"Bank Rakyat sentiasa prihatin dan komited dalam membantu pelanggan yang semakin terhimpit dengan beban kewangan lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan ramai mengalami pengurangan punca pendapatan," katanya.

Bermula semalam, pelanggan individu dan perusahaan mikro boleh memohon bantuan moratorium melalui borang elektronik yang disediakan di https://cv19-support.bankrakyat.com.my/.

Manakala, pelanggan PKS boleh menghubungi pengurus hubungan bank atau Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil Sederhana dan Koperasi bagi mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:10 AM