Medec tawar moratorium bantu usahawan PMKS terjejas banjir.
Medec tawar moratorium bantu usahawan PMKS terjejas banjir.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melalui agensi di bawahnya bersetuju memberikan moratorium enam bulan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat banjir.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, banyak perniagaan usahawan terkesan dan ia memerlukan tempoh masa tertentu untuk kembali beroperasi seperti biasa.

 Katanya, oleh itu, Bank Rakyat memberi penangguhan kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama enam bulan.

"Penangguhan ini membabitkan mereka yang meminjam dengan Bank Rakyat melalui Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i.

"Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula memberi moratorium kepada usahawan terkesan banjir selama enam bulan, bergantung kepada sejauh mana kesan banjir dihadapi mereka.

"Selain itu, SME Bank turut memberi pengecualian sewaan selama dua bulan kepada mana-mana penyewa di kompleks perniagaan usahawan SME Bank yang terjejas akibat banjir.

"SME Bank menawarkan penjadualan semula kepada semua usahawan terkesan dengan banjir dan menawarkan Dana Pemulihan Bencana dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000 dengan moratorium enam bulan.

"SME Corp menawarkan tiga pakej pembiayaan iaitu SME Revitalisation Financing (SMERF), Soft Loan Scheme For Small and Medium Enterprise (SLSME) dan SME Emergency Fund (SMEEF) untuk semua PKS (perusahaan kecil dan sederhana) terjejas banjir dalam semua sektor ekonomi dan layak untuk membeli peralatan, baik pulih premis perniagaan dan dana modal permulaan perniagaan.

"Pakej ini diberi moratorium pembayaran balik sehingga enam bulan dan untuk peserta tiga program sedia ada ini juga diberikan moratorium enam bulan sehingga Jun 2022," katanya.

  Beliau berkata, kerajaan kekal komited dalam memastikan bantuan disediakan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 8:01 AM