SEBUAH jengkaut  ditemui daripada kegiatan perlombangan emas haram dalam Taman Negara Kelantan.
SEBUAH jengkaut ditemui daripada kegiatan perlombangan emas haram dalam Taman Negara Kelantan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Paya Linda Yahya


Kuala Lumpur: Lonjakan harga emas di peringkat global dan pasaran tempatan dikesan menarik kedatangan 'lanun emas' membabit pelombong profesional warga asing.

Difahamkan pelombong haram ini menjarah sumber galian negara dengan menceroboh masuk hutan simpan yang dikenal pasti menyimpan logam berharga itu.

Terbaru dua lelaki warga asing berjaya diberkas pihak berkuasa selepas dikesan melakukan perlombongan emas secara haram di Sungai Relai, Taman Negara Kelantan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan haram itu berjaya dibongkar hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) disertai empat pegawai Perhilitan, dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dua anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, dalam operasi khas jam 4.30 petang kelmarin, pihaknya mengesan aktiviti mencurigakan di dalam kawasan larangan berhampiran Sungai Relai di Taman Negara berkenaan.

"Pihak kami kemudian melakukan serbuan sebelum berjaya menahan dua lelaki warga Myanmar yang disyaki menceroboh kawasan taman negara berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui lima khemah disyaki tempat warga asing itu menginap di dalam hutan berkenaan," katanya kepada Harian Metro.

Kadir berkata, siasatan dan pemeriksaan dilakukan mendapati suspek melakukan aktiviti melombong emas secara besar-besaran di kawasan berkenaan.

"Ini susulan penemuan peralatan disyaki mesin dan perkakas digunakan untuk melombong dan memisahkan emas dari sisa tanah digali.

DUA lelaki warga asing ditahan bersama sebahagian peralatan dipercayai untuk kegiatan perlombangan emas haram dalam Taman negara, di Kelantan.
DUA lelaki warga asing ditahan bersama sebahagian peralatan dipercayai untuk kegiatan perlombangan emas haram dalam Taman negara, di Kelantan.

"Agak mengejutkan apabila kami turut menemui jentera berat excavator atau jengkaut yang digunakan untuk menggali tanah di kawasan itu. Turut ditemui adalah generator mudah alih, tong gas, alat penapis emas, pam air, tong diesel dan pelbagai peralatan untuk melombong emas di kawasan itu," katanya.

Menurutnya, suspek warga Myanmar itu didapati turut menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk memasuki negara ini.

"Susulan itu suspek ditangkap dan kesemua barang kes bernilai lebih RM500,000 itu disita untuk tindakan lanjut mengikut Enakmen Taman Negara Kelantan 1938.

"Laporan polis turut dilakukan di Balai Polis Gua Musang, Kelantan membabitkan kegiatan perlombongan emas haram itu," katanya.

Kadir turut menyatakan kebimbangan susulan tindakan warga asing yang kerap memburu dan menangkap haiwan liar dilindungi di hutan negara ini.

"Biasanya mereka akan memasang jerat dawai yang boleh memerangkap semua jenis haiwan liar seperti rusa, harimau belang, tapir, babi hutan dan pelbagai spesis lain. Haiwan ini akan dibunuh dan dijadikan makanan atau diseludup ke luar negara.

KHEMAH didirikan warga asing untuk menjalankan kerja perlombongan emas secara haram.
KHEMAH didirikan warga asing untuk menjalankan kerja perlombongan emas secara haram.

"Kegiatan jenayah hidupan liar ini turut akan menyebabkan spesis hidupan liar negara ini yang terancam berdepan kepupusan terutamanya harimau belang," katanya.

Kegiatan perlombongan emas haram di Pantai Timur bukanlah perkara baharu berikutan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan pernah menahan lapan orang termasuk empat warga asing kerana disyaki melombong emas secara haram di hutan simpan kekal (HSK) Sokor, Tanah Merah, Kelantan.

Suspek membabitkan lapan individu termasuk empat warga Bangladesh berusia 18 hingga 48 tahun didapati bekerja dengan sebuah syarikat yang sudah mendapatkan kelulusan, namun belum memperoleh lesen perlombongan emas.

Suspek memasuki kawasan HSK dan mengambil hasil mineral tanpa kebenaran pihaknya termasuk menggunakan jentera dalam hutan berkenaan.

'Mampu raih hingga RM1k sehari'

Harga emas dijangka cecah RM400 segram

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 12:01 PM