GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan digalakkan untuk memperluas penawaran program ke luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, bagi tujuan itu, perkara asas yang perlu dipastikan ialah kualiti pendidikan yang ditawarkan berada pada tahap sangat baik.

Katanya, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan IPT tempatan agar mampu menawarkan program terkini, relevan dengan keperluan industri, bersifat global dan futuristik.

"Dengan pencapaian pendidikan tinggi yang baik, pastinya kita tidak mempunyai masalah untuk mengeksport program IPT tempatan seperti mana Malaysia menerima cawangan IPT luar negara seperti University of Reading, University of Southampton dan Monash University di negara ini.

"Diharap di bawah inisiatif MQA Global, kita mampu mengeksport pendidikan tinggi tempatan ke luar negara melalui program francais di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan.

Bagi mengantarabangsakan program IPT tempatan, Mohammad Shatar berkata, pihaknya sudah menggariskan lima perkara di bawah inisiatif MQA Global iaitu pertama, pengiktirafan bersama dengan badan akreditasi luar negara untuk menerima IPT Malaysia yang sudah diiktiraf MQA.

"Kedua, kolaborasi dengan badan akreditasi global di negara yang ada program pendidikan tinggi Malaysia bagi memastikan program disediakan sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Ketiga, bagi memperkasa konsep pendidikan transnasional, kita akan memperkenalkan pendidikan fleksibel menerusi penawaran program micro-credential bukan hanya untuk pelajar tempatan tetapi juga untuk penuntut antarabangsa.

"Keempat, pertukaran ahli akademik dan pelajar serta kelima menjayakan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global," katanya.

Mohammad Shatar berkata, dengan semua inisiatif itu, MQA optimis IPT tempatan dan pihak berkaitan pengajian tinggi tempatan mampu untuk mempromosikan, melaksanakan dan menyemarakkan lagi konsep pendidikan transnasional.

"Diharap dengan usaha ini, nama Malaysia dapat diharumkan di seluruh pelosok dunia seterusnya menjayakan sasaran KPT untuk menerima seramai 250,000 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di negara ini.

"Kualiti pendidikan tinggi Malaysia juga akan bertambah baik dari semasa ke semasa dan pastinya penarafan IPT tempatan akan melonjak kerana jenama pendidikan tinggi negara sudah dikenali di peringkat global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 1:24 PM