MQA adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang ditubuhkan pada 1 November 2007.
MQA adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang ditubuhkan pada 1 November 2007.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) cukup dikenali sebagai sebuah autoriti global yang menjaga kualiti pengajian tinggi negara bagi sektor awam dan swasta.

Misinya untuk mewujudkan satu sistem jaminan kualiti diterima pakai di peringkat antarabangsa.

MQA yang berusia 13 tahun kini bersedia meneroka sempadan baharu bagi 'mencipta' sistem pendidikan tinggi negara lebih cemerlang.

Ikuti wawancara Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Husaini Omar bersama wartawan Nor 'Asyikin Mat Hayin bagi berkongsi lebih lanjut mengenai entiti itu di bawah Kementerian Pengajian Tinggi secara lebih menyeluruh.

PROF Datuk Dr Husaini Omar. FOTO Mahzir Mat Isa
PROF Datuk Dr Husaini Omar. FOTO Mahzir Mat Isa

Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang MQA?

MQA adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang ditubuhkan pada 1 November 2007.

Kewujudan MQA hari ini menyaksikan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi Malaysia bernaung di bawah satu agensi tunggal yang tidak membezakan antara awam dan swasta.

Ini termasuk politeknik, kolej komuniti ataupun institusi pengajian tinggi di bawah kementerian atau agensi lain.

Boleh terangkan fungsi MQA secara ringkas?

MQA ditubuhkan di bawah Akta 679, Akta Agensi Kelayakan Malaysia sebagai badan jaminan kualiti kebangsaan yang menjalankan empat fungsi utama:

  • Pertama, melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria serta standard kelayakan kebangsaan.
  • Kedua, mengakredit program dan kelayakan pendidikan tinggi berdasarkan kriteria dan standard yang ditetapkan.
  • Ketiga, membangunkan kod amalan jaminan kualiti pengajian tinggi dan standard program berdasarkan amalan bijak antarabangsa.
  • Keempat, menyelenggarakan Daftar Kelayakan Malaysia bagi program yang sudah mendapat perakuan akreditasi.

    Apakah perkara dilihat MQA sebelum memberikan perakuan akreditasi kepada program yang ditawarkan?

    Perakuan akreditasi diberikan kepada program pengajian yang ditawarkan di sebuah Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT).

    Oleh itu, proses penilaian jaminan kualiti program ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu Akreditasi Sementara dan Akreditasi Penuh.

    Akreditasi Sementara ialah proses sebelum program bermula, MQA membuat pengesahan bahawa kurikulum program yang dibangunkan dan perancangan penawaran program hendak dilaksanakan menepati keperluan standard jaminan kualiti.

    Peringkat ini berkaitan dengan usaha mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi untuk pengendalian program berkenaan.

    Akreditasi penuh pula adalah proses penilaian yang memfokuskan kepada pelaksanaan program dan penilaian pelajar untuk kompetensi ditetapkan dalam satu program pengajian.

    Oleh itu, institusi hendaklah memastikan program yang dijalankan mencapai dan memenuhi kriteria serta standard ditetapkan sebelum satu Perakuan Akreditasi dapat dianugerahkan kepada program berkenaan.

    Adakah akreditasi yang diberikan MQA terguna pakai dan disahkan negara luar?

    Program yang mendapat Perakuan Akreditasi menerima manfaat daripada segi pengiktirafan badan jaminan kualiti atau kementerian luar negara yakin terhadap kualiti program yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan.

    Dalam pada itu, ia masih tertakluk kepada pilihan dan keutamaan pihak luar negara, sesuai dengan tujuan itu serta keperluan mereka.

    Sebagai contoh, pihak berkuasa luar negara lebih cenderung menghantar pelajar tajaan kepada institusi yang bertaraf universiti dan menawarkan pasca ijazah.

    Adakah perakuan diberikan MQA ini turut membabitkan perakuan terhadap program pengajian yang ditawarkan IPT luar negara?

    Harus diingatkan bahawa Perakuan Akreditasi dikeluarkan MQA hanya tertakluk kepada institusi dalam negara yang didaftarkan di bawah Akta 555 (Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta), Akta AUKU dan Akta Pendidikan (Akta 550).

    Begitu juga institusi latihan awam lain di bawah pelbagai kementerian.

    Sehubungan itu pada kelazimannya, institut pengajian tinggi (IPT) luar negara sudah melalui proses jaminan kualiti atau akreditasi oleh pihak berkuasa di negara mereka.

    Namun begitu, sekiranya terdapat IPT luar negara yang berminat untuk mendapatkan status Akreditasi MQA, maka permohonan boleh dikemukakan kepada MQA bagi proses penilaian selanjutnya.

    Adakah setiap program pengajian yang ditawarkan di IPTA di Malaysia, secara automatiknya akan mendapat akreditasi MQA?

    Setiap IPT akan melalui proses penilaian yang sama termasuk IPTA dan IPTS. Oleh itu, Perakuan Akreditasi bukan diperoleh secara automatik dan perlu melalui proses penilaian ditetapkan.

    Setiap program yang diberikan Perakuan Akreditasi bermakna sudah mematuhi kriteria dan standard jaminan kualiti ditetapkan.

    Kenapa perlu tahu status sesuatu program pengajian sebelum mendaftar?

    Sebelum mendaftar di mana-mana IPT, disarankan membuat semakan statusnya terlebih dahulu.

    Hendak belajar diperingkat lebih tinggi juga perlu memilih program pengajian yang ada pengesahan kualiti dan mencapai standard ditetapkan.

    Seperti kita membeli barang, sudah pasti kita membeli sesuatu barang yang mempunyai kualiti tinggi dan disahkan standardnya.

    Apakah kelebihan program pengajian dan kelayakan yang diakreditkan serta disenaraikan dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR)?

    Kelebihan program yang mendapat akreditasi MQA ialah:

  • Pertama, program pengajian dan kelayakan itu sudah melalui proses jaminan kualiti, iaitu selaras dengan standard serta kriteria ditetapkan. Juga mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) (Sila rujuk maklumat mengenai Sistem Jaminan Kualiti di laman web MQA).
  • Kedua, memudahkan pemindahan kredit.
  • Ketiga, membolehkan graduan melanjutkan pengajian di institusi tempatan atau luar negara.
  • Keempat, membolehkan graduan dipertimbangkan untuk pelantikan ke perkhidmatan awam.
  • Kelima, memudahkan graduan mendapat bantuan kewangan.

    Apakah bentuk kerjasama yang dijalankan MQA dengan agensi luar agar jaminan kualiti pendidikan di Malaysia diperakui negara lain?

  • Kerjasama MQA dengan agensi luar negara adalah pelbagai. Ada yang berbentuk perkongsian maklumat, pertukaran kepakaran, kerjasama latihan dan juga berbentuk penanda aras dua sistem seperti mana MQA sudah lengkapkan dengan badan akreditasi dari New Zealand serta Jepun.

    MQA turut aktif dalam badan jaringan antarabangsa di peringkat Asia Tenggara, Asia Pasifik juga antarabangsa.

    Semua usaha itu dilaksanakan bagi membolehkan pelbagai pihak di luar negara mengetahui dan memahami pelaksanaan akreditasi di negara ini yang seterusnya memudahkan cara pergerakan graduan Malaysia merentasi sempadan.

    Bagaimana seorang pelajar boleh mengetahui bahawa program pengajiannya mendapat perakuan MQA?

    Pelajar boleh menyemak maklumat program ingin diikuti di portal MQA. Ia menyenaraikan program mendapat Perakuan Akreditasi mengikut institusi yang menawarkannya.

    Jika fokus perbincangan tadi adalah mengenai pelajar lepasan SPM atau STPM yang mahu melanjutkan pengajian. Bagaimana pula individu sudah bekerja, adakah ada ruang atau peluang bagi mereka melanjutkan pengajian?

    Ya. Sebenarnya MQA ada menyediakan ruang dan laluan kepada mereka yang sedang bekerja serta tidak mempunyai kelayakan sepatutnya, tetapi ingin melanjutkan pengajian.

    Apa yang saya maksudkan ialah Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL). Ini satu usaha dalam menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

    Proses APEL membabitkan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman. Pembelajaran ini boleh diperoleh melalui pelbagai kaedah termasuk persekolahan yang formal, pengalaman hidup dan pekerjaan, latihan, pengajian bebas, kerja sukarela, hobi serta lain-lain.

    Bagaimana APEL dapat membantu sebagai laluan alternatif dalam menyambung pelajaran?

    APEL ialah laluan alternatif kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan formal untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

    Contohnya mereka hanya mempunyai sijil UPSR dan PMR, tetapi masih boleh melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

    Setakat ini, seramai 19,348 yang memohon APEL dan 4,007 daripada mereka lulus penilaian berkenaan.

    Bagaimana cara bagi mereka yang berminat memohon masuk ke dalam sistem ini?

    Permohonan penilaian APEL hendaklah dibuat oleh individu (pelajar). Ketika ini MQA memberi ruang bagi memasuki sistem ini di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

    Jika anda berminat memasuki program menerusi APEL haruslah:

    i-Berstatus Warganegara Malaysia

    ii-Minimum usia 19 tahun bagi pemohon peringkat sijil, minimum usia 20 tahun (peringkat diploma), minimum usia 21 tahun (peringkat ijazah sarjana muda) dan 30 tahun ke atas (ijazah sarjana), serta

    iii-Lulus dalam penilaian yang akan dijalankan MQA iaitu menerusi penilaian Portfolio dan Aptitude Test.

    Sekiranya melepasi syarat i dan ii, seperti dinyatakan. Pemohon boleh membuat rujukan lanjut di portal MQA yang mana terdapat ruangan khusus mengenai APEL dan pendaftaran secara dalam talian.

    Apakah nasihat Datuk kepada belia yang sedang mencari program pengajian pilihan?

    Ini adalah perkara penting yang perlu diberikan perhatian. Bukan hanya kepada lepasan SPM dan STPM tetapi termasuk ibu bapa.

    Sebelum mengikuti mana-mana program di IPT tempatan, dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu status program itu sama ada sudah mendapat Perakuan Akreditasi Sementara atau Perakuan Akreditasi di portal MQA.

    Ini sangat penting agar apabila bergraduat kelak, kelayakan atau ijazah yang diterima diiktiraf dan seterusnya akan memudahkan laluan kerjaya masing-masing.

    Perkara yang sama juga perlu dilakukan apabila individu ingin melanjutkan pengajian ke luar negara.

    Penting memastikan status akreditasi atau pengesahan kualiti oleh pihak berkuasa negara terbabit bagi menjamin penerimaan kelayakan yang diperoleh apabila bergraduasi.

    Bagaimana semakan status program boleh dilakukan?

    Senarai program mendapat akreditasi boleh diperoleh dengan menyemak di portal MQA yang mana semakan melalui Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) di www2.mqa.gov.my/mqr bagi senarai akreditasi penuh.

    Keduanya senarai akreditasi sementara di www2.mqa.gov.my/pasp dan Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) di www2.mqa.gov.my/esisraf.

    Sekiranya membabitkan program luar negara, semakan boleh dibuat dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

    Semakan lebih pantas dan mudah boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi MyMQR di telefon pintar.

    Nasihat Datuk kepada bakal graduan?

    Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MQA dan menjaga jaminan kualiti program dijalankan PPT, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian supaya merebut peluang disediakan.

    Bagi yang tiada peluang, bolehlah melanjutkan pengajian melalui APEL atau mana-mana program disediakan MQA.

    Saya juga memohon bakal penuntut supaya memastikan program yang hendak diambil itu mendapat akreditasi MQA kerana ia akan diberi nilai taraf perkhidmatan awam oleh kerajaan.

    Kita tidak mahu ada penuntut yang selepas bergraduasi nanti, mendapati program diambil tiada dalam senarai taraf perkhidmatan awam.

    Jika ini terjadi, kesannya akan menyusahkan bakal graduan ini kerana tidak boleh meneruskan perjalanan kehidupan, sama ada bekerja di perkhidmatan awam atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

    Pastikan semak dahulu status sesuatu program di portal MQA sebelum melanjutkan pengajian dan maklumat ini akan memberikan manfaat kepada mereka.

  • Facebook – OFFICIAL : Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

  • Instagram – mqamalaysia

  • Twitter - MQA Malaysia
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 9:52 AM