MOHD Zawawi menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima DUN Selangor ke-14. FOTO Bernama
MOHD Zawawi menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima DUN Selangor ke-14. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pentadbiran Islam untuk memberikan kuasa kepada mahkamah menjalankan prosiding menggunakan komunikasi jarak jauh.

RUU berkenaan adalah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022 dan RUU Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022.

Pindaan terhadap kedua-dua RUU berkenaan diluluskan selepas dibahaskan oleh tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang kemudian dipersetujui kesemua ahli dewan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, dengan kelulusan itu, kes terdahulu yang dijalankan di Mahkamah Syariah secara dalam talian (online) diperakui sah.

"Untuk rekod, sebanyak 1,740 kes dibicarakan secara dalam talian sejak pandemik (April 2020); wakalah atas talian (1,184); pentadbiran afidavit atas talian (659) dan kes sulh (150).

"Secara keseluruhan, sebanyak 3,773 kes diuruskan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) sejak April 2020 hingga kini," katanya pada sidang media di Lobi Bangunan Annex dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya RUU berkenaan tidak diluluskan, kes yang dibicarakan atau diuruskan secara dalam talian akan terbatal dan perlu diulang semula.

Terdahulu, ketika sesi pembentangan Mohd Zawawi berkata, JAKESS menghadapi kekangan prosiding mahkamah secara fizikal disebabkan penularan Covid-19 sehingga menyebabkan kes tertangguh.

"Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 dan tatacara mal tidak memperuntukkan secara khusus berhubung kuasa mahkamah syariah untuk jalankan prosiding termasuk perbicaraan, sebutan, pengurusan kes, majlis sulh, pentadbiran, wakalah dan afidavit teknologi jarak jauh.

"Jadi, dengan pindaan dibuat kepada undang-undang sedia ada bagi mewujudkan peruntukan yang memberi kuasa mahkamah syariah untuk jalankan prosiding kes menerusi teknologi jarak jauh," katanya.

Terdahulu, Mohd Zawawi memaklumkan dewan, pindaan RUU itu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bersidang pada 25 Januari lalu untuk dipersembah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

"RUU ini dipersembah dan diperkenan Sultan Selangor pada 7 April selaras dengan subseksyen 22(5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

"Baginda bersetuju dan berkenan RUU ini dibentang dalam sidang DUN kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 6:28 PM