FAHMI menyampaikan ucapan di Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai 2023. FOTO Eizairi Shamsudin
FAHMI menyampaikan ucapan di Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai 2023. FOTO Eizairi Shamsudin
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menyindir ahli parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) terlalu lama ponteng daripada menghadiri sidang berkenaan sehingga terlupa peraturan mesyuarat seterusnya mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata, tidak timbul isu salah guna kuasa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Ahli Parlimen Tambun itu juga menjawat jawatan sebagai Ketua Majlis dalam Parlimen.

"Tidak timbul perkara itu (salah guna kuasa), itu adalah kenyataan daripada Ketua Majlis (Parlimen), saya rasa pihak PN ini terlalu lama ponteng Parlimen sehingga mereka lupa mengenai peraturan mesyuarat.

"Memang sudah kelaziman yang urusan kerajaan akan didahulukan, jadi terpulang kepada budi bicara Speaker (Dewan Rakyat) untuk memutuskan sesuatu perkara, mungkin mereka ini tidak biasa dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Majlis.

"Jadi saya minta mereka ini untuk menelaah buku peraturan mesyuarat, terutamanya kepada ketua pembangkang dan pimpinan utama PN, hentikanlah budaya ponteng.

"Datanglah ke Parlimen, tanya soalan dan isu untuk kita teliti serta yang ingin mereka bangkitkan dalam Parlimen," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai 2023, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Whip Parlimen PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa tindakan Pengerusi Pakatan Harapan menolak usul membahaskan keputusan lepas tanpa bebas (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada 47 pertuduhan jenayah di Parlimen, jelas melanggar undang-undang dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, sebagai Ketua Majlis Parlimen, Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak menentu atau memutuskan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat jika usul dikemukakan.

Katanya, sebaliknya penerimaan atau penolakan usul sedemikian berada dalam bidang kuasa dan budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker semata-mata.

"Di sini jelas bahawa Perdana Menteri telah membuat kenyataan yang melampaui bidang kuasa dan peranannya sebagai Ketua Majlis. (Tindakan itu) mendahului keputusan yang sepatutnya dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Anwar berkata, keputusan DNAA oleh mahkamah terhadap Ahmad Zahid susulan permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwaan, tidak boleh dibahas pada sidang khas Dewan Rakyat.

Ini kerana, katanya sidang Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah dan Peguam Negara bukan ahli parlimen dan menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 4:36 PM