Gambar hiasan
Gambar hiasan
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) menyifatkan pakaian jururawat ketat hanyalah kes terpencil, membabitkan segelintir kakitangan yang berkemungkinan menghadapi kenaikan berat badan dan bukan disengajakan.

Presidennya, Nor Hayati Abd Rashid berkata, ini kerana penetapan kod pakaian jururawat yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dibuat berdasarkan garis panduan dan konsultasi yang ketat, sebelum ia diluluskan.

Katanya, kod pakaian yang ditambah baik sejak penghujung 1980-an itu lebih 'tertutup' dengan penggunaan seluar panjang berbanding skirt sebelum itu.

"Sebenarnya uniform ini sudah mengikut peraturan ditetapkan, ada garis panduan... tidak boleh ketat dan sebagainya.

"Soal pakaian ketat itu lebih kepada individu dan sebenarnya jururawat itu sendiri kena sedar, sekiranya uniform itu dirasa sudah ketat, dia perlu membuat yang baharu," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwa ketat dan tidak patuh syariah di ketika persidangan Parlimen, semalam.

Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mendakwa ramai jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.

Wan Razali turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai.

Mengulas lanjut, Nor Hayati berkata, kebiasaannya ketua jururawat atau penyelia akan menasihati kakitangan masing-masing sekiranya mendapati mereka tidak mematuhi standard pemakaian yang dibenarkan KKM.

Dalam perkembangan sama, katanya, MNU turut mengalu-alukan sekiranya wujudnya cadangan untuk memperhalusi penambahbaikan kod pakaian jururawat di sektor awam di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 6:52 PM