Kuala Lumpur: Malaysia dan Indonesia bersetuju bekerjasama dalam perkongsian sumber perisikan, selain memantau pergerakan anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) yang pernah berperang di Syria dan Iraq, serta media sosial.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata peranan Malaysia dan Indonesia amat penting dan kritikal kerana kedua-dua negara ini memiliki populasi penduduk Islam terbesar di rantau ASEAN.

“Sesungguhnya ancaman IS adalah benar dan situasi semasa yang berlaku di Iraq, Syria serta beberapa buah negara lain tidak mustahil boleh berkembang ke rantau ASEAN.

“Rantau ini mempunyai beberapa ‘kawasan panas’ yang boleh dimanipulasikan untuk menyebarluaskan ideologi IS,” katanya dalam sidang media sempena lawatan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini, semalam.

Berhubung isu persempadanan maritim, Hishammuddin berkata kedua-dua negara bersetuju untuk tidak melanjutkan provokasi dan pertikaian yang mungkin wujud, yang mampu menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Mengenai inisiatif mewujudkan Pasukan Pengaman ASEAN, Hishammuddin berkata beliau sudah melahirkan hasrat Malaysia untuk mendapatkan sokongan Indonesia dalam merealisasikan konsep pasukan itu di bawah satu bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Terdapat tiga fasa di bawah konsep ini iaitu Fasa 1: penerimaan pakai ‘ASEAN Badge’ dalam kalangan negara anggota, Fasa II: penghantaran misi-misi ASEAN ke luar negara dan Fasa III: penggunaan bendera PBB,” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin dan Ryamizard menghadiri mesyuarat bilateral bagi membincangkan pelbagai topik yang menyentuh kepentingan keselamatan dan pertahanan kedua-dua negara dan serantau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:15 AM