Aminuddin Harun (tengah) menunjukkan surat pelantikan Prof Madya Dr Mohd Faudzinaim Badarudin (kiri) sebagai Mufti Negeri Sembilan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim. Foto Ihsan Pejabat MB.
Aminuddin Harun (tengah) menunjukkan surat pelantikan Prof Madya Dr Mohd Faudzinaim Badarudin (kiri) sebagai Mufti Negeri Sembilan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim. Foto Ihsan Pejabat MB.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengerusi Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Faudzinaim Badarudin dilantik sebagai Mufti Negeri Sembilan yang baharu.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pelantikan Dr Mohd Faudzinaim berkuat kuasa 1 Oktober lalu bagi menggantikan mufti sebelum ini, Datuk Mohd Yusof Ahmad yang bersara.

"Tahniah diucapkan kepada Prof Madya Dr Faudzinaim atas pelantikan sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

"Beliau Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan serta ahli Jilsah Turuq Sufiyyah Negeri Sembilan.

"Beliau mempunyai kelayakan akademik Doktor Falsafah dari Universiti London (1998) dan sarjana dari universiti yang sama (1992) serta Sarjana Muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1989).

"Dengan kelayakan dan kemahiran yang melibatkan bidang akidah dan kesufian, saya berharap beliau dapat membantu meningkatkan pembangunan syiar Islam khususnya buat rakyat di Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Faudzinaim, 58, anak kelahiran Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said di Seremban dan melanjutkan pengajian di UKM dalam bidang Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) Fakulti Pengajian Islam.

Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri berkata, Dr Faudzinaim mempunyai pengalaman bekerja yang luas bermula sebagai tutor di Jabatan Usuluddin dan Falsafah di Fakulti Pengajian Islam UKM.

Menurutnya, beliau kemudian meneruskan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti London (1991-1992) dan Doktor Falsafah dari School of Oriental and African Studies pada tahun 1992 hingga 1998.

"Mohd Faudzinaim mula bertugas sebagai tutor di Jabatan Usuluddin dan Falsafah di Fakulti Pengajian Islam UKM dan kemudian sebagai pensyarah di jabatan yang sama serta menjawat jawatan Pensyarah Kanan mulai 1 Februari 2005.

"Beliau kemudian menjawat jawatan sebagai Profesor Madya di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM mulai 2007.

"Selamat berkhidmat diucapkan semoga jawatan yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi Negeri Sembilan yang dikasihi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 11:06 AM