Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan menyatakan modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan membabitkan pelajar sekolah menengah dan universiti.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, pada masa ini, pihaknya sedang memuktamadkan libat urus, ko-kurikulum dan beberapa modul latihan lain.

"Kadang-kadang kita melihat ada dalam kalangan pelajar yang tidak memasuki universiti, mereka itu kita golongkan dalam kalangan belia yang terlibat dengan PLKN ini.

"Saya fikir bila kita muktamadkan nanti, latihan ini bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah menengah, ia juga melibatkan pelajar yang memasuki universiti mahupun tidak memasuki universiti," katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

ADLY di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
ADLY di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) jika PLKN akan turut melibatkan belia dan bukan lagi pelajar sekolah menengah.

Mengulas lanjut, Adly berkata, pihaknya masih mempunyai tempoh masa dan tahap umur bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Kalau kita lihat, kita ada tempoh masa dan tahap umur bagi memastikan program ini dapat kita laksanakan sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 12:35 PM