Mohd Saiful Basri memberi makanan kepada ikan di kolamnya di Kampung Lepan Jaya tepi Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Gua Musang. Foto Ramli Ibrahim
Mohd Saiful Basri memberi makanan kepada ikan di kolamnya di Kampung Lepan Jaya tepi Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Gua Musang. Foto Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

SIAPA sangka gua batu kapur yang dikenali sebagai Gua Kambing di Kampung Lepan Jaya tepi Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Gua Musang mampu menjadi lokasi menternak ikan kelah.

Usaha menternak ikan kelah oleh seorang lelaki tempatan bermula sejak 10 tahun lalu dan mampu memberi pulangan hasil lumayan walaupun berdepan banyak risikonya.

Penternak ikan terbabit, Mohd Saiful Basri Mat Yaakob, 44, mengambil masa dua tahun untuk membersih di dalam dan sekitar kaki gua itu sebelum dibuka kolam ikan.

Dia akui bukan perkara mudah untuk membina enam kolam ikan dan menjadi dalam serta di luar kawasan gua itu sebagai tempat menarik menternak ikan kelah bagi mengelakkannya daripada pupus.

“Apa yang saya lakukan ini untuk memberi kemudahan kepada sesiapa sahaja membeli ikan kelah yang mungkin sukar diperolehi di pasaran.

“Saya bermula menternak ikan kelah sejak 2011 membabitkan 5,000 ekor dan dijual selepas itu secara berperingkat.

“Selepas itu, saya ganti pula dengan benih baru sehingga 5,000 ekor lagi hingga sekarang,” katanya ditemui hari ini.

Mohd Saiful Basri berkata, idea kreatif membuka kolam ikan di dalam dan luar gua itu kerana secara kebetulan pula gua batu kapur terbabit berada dalam kawasan tanah miliknya seluas 0.8 hektar.

Katanya, kini dia menternak 5,000 ekor kelah dan 4,000 ikan jenis lain termasuk talapia dan patin kerana permintaan tinggi daripada pembeli tempatan serta luar daerah itu.

“Terdapat juga 450 ekor ikan kelah yang diternak sejak lapan tahun lalu hingga mencapai berat antara lima hingga sembilan kilogram seekor tetapi tidak sanggup menjualnya,” katanya.

Menurutnya, ikan kelah yang cukup saiz membesar selepas diternak tiga tahun mengikut pusingan itu dijual antara RM200 hingga RM250 sekilogram.

Katanya, dia ada menerima anak kelah yang dibeli daripada Orang Asli di pedalaman daerah untuk menambahkan pengeluaran ikan kelah selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 12:22 PM