RAFIZI. FOTO arkib NSTP
RAFIZI. FOTO arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


Sungai Petani: PKR perlu pertahan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tradisinya sebelum meletakkan sasaran menang lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah akan datang.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, PKR tidak pernah kalah di DUN Bakar Arang, Sidam, Bukit Selambau, Lunas dan Kulim sejak 2008, walaupun ketika parti itu berhadapan pelbagai pergolakan.

"Pada dasarnya, walaupun ada turun naik, tsunami dan pergolakan politik sejak 2008, kita di Kedah ada lima kerusi tradisi tak pernah kalah dan ini adalah kerusi asas paling sesuai kita pertahankan.

"Saya tak kata tak ada risiko (kalah), semua ada risiko sebab di Kedah berlaku hayunan undi Melayu sehingga 70 hingga 80 peratus, jadi jika itu berlaku (pada PRN) semua kerusi termasuk kerusi tradisi PKR dalam keadaan risiko.

"Untuk merancang PRN kali ini, secara realisitik kita perlu tahu kekuatan bahawa kita ada lima kerusi tak pernah kalah, ini boleh jadi sasaran yang baik untuk kita dan usaha dapat kerusi lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Konvensyen PRN Kedah dan Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai keyakinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menang 33 daripada 36 kerusi DUN, beliau menegaskan itu bukan suatu tekanan kepada PKR.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menjelaskan, kemenangan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, adalah berasaskan sentimen perkauman Melayu yang memuncak.

"Keputusan (PN menang) PRU-15 lepas bukan sebab Sanusi popular, Pas kuat atau rakyat akui apa mereka buat, tetapi keputusan itu kerana memuncaknya 15 tahun sentimen perkauman yang dimainkan dalam masyarakat Melayu.

"Oleh kerana rekod Umno dilihat tak baik dan pendedahan demi pendedahan dibuat, jadi naratif perkauman jadi pengaruh paling besar mengakibatkan kebanyakan pengundi Melayu membuat pilihan undi semula jadi kepada Pas.

"Ia sama seperti ketika Pakatan Rakyat menang lima negeri pada 2008, bukan sebab PKR atau DAP hebat, tetapi pada masa itu berlaku hayunan undi pengundi bandar yang tolak rasuah, yang mahu tata kelola kerajaan yang baik," katanya.

Untuk rekod, komposisi DUN Kedah ketika ini menyaksikan Pas menguasai 15 kerusi, Bersatu (enam), PKR (lima), Parti Amanah Negara (empat), manakala Umno, DAP dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masing-masing memiliki dua kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 12:15 PM