Nik Nurhayati Nik Mohd Marzuki menunjukkan gambar anaknya Muhammad Danish Darwish Dasuki Muhammad Adam yang hilang dari asrama sekolahnya sejak 9 Jun lalu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Nik Nurhayati Nik Mohd Marzuki menunjukkan gambar anaknya Muhammad Danish Darwish Dasuki Muhammad Adam yang hilang dari asrama sekolahnya sejak 9 Jun lalu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tempoh 16 hari sudah berlalu namun pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Rembau, Muhammad Danish Darwish Dasuki Muhammad Addam yang hilang masih gagal ditemui.

Ibunya, Nik Nurhayati Nik Mohd Marzuki, 33, berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan anaknya yang hilang dari asrama sekolah sejak 9 Jun lalu.

Menurutnya, seluruh ahli keluarga buntu berikutan Muhammad Danish tidak pernah mengadu sebarang masalah sejak tinggal di sekolah berasrama itu mulai Mac lalu.

"Kali terakhir bertemu Muhammad Danish adalah pada petang 9 Jun lalu. Ketika itu tingkah lakunya sedikit berbeza berbanding kebiasaan.

"Dia seolah-olah mengelamun dan tidak begitu ceria. Apabila ditanya, dia memberitahu tidak berdepan apa-apa masalah. Namun tidak lama kemudian saya dimaklumkan dia hilang dari asrama," katanya.

Menurutnya, usaha mengesan Muhammad Danish tidak pernah berhenti.

"Kami mencarinya di sekitar Rembau, Tampin dan Seremban malah melangkaui sehingga ke ibu kota Kuala Lumpur.

"Ada yang dakwa ternampak Muhammad Danish di hentian bas Rembau dengan memakai kemeja T biru hitam bertulis AT (Akademi Tunas) Jempol. Ada juga mendakwa melihatnya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

"Semua lokasi itu sudah kami pergi namun gagal menemui jejaknya. Justeru saya berharap orang ramai dapat membantu kami mengesan Muhammad Danish," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 011-11326212 atau 016-9593028.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Rembau,Deputi Superintenden, Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan kehilangan Muhammad Danish disedari warden asrama kira-kira jam 11 malam pada 9 Jun lalu.

Katanya, kali terakhir remaja itu dilihat memakai baju melayu berwarna hijau tua dan berseluar hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 4:52 PM