Danish Iskandar
Danish Iskandar
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Bapa kepada pelakon drama bersiri Shah Alam 40000, Danish Iskandar, 17, iaitu Muhammad Burhanudin memohon kerajaan supaya mempercepatkan proses suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 18 tahun.

Muhammad berkata, melihat keadaan Danish yang hampir putus nyawa selepas dijangkiti virus berkenaan pada 28 Ogos lalu, dia bimbang jika kejadian seumpama itu berlaku kepada remaja lain.

"Saya mohon kerajaan untuk mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan remaja di bawah 18 tahun selepas melihat sendiri situasi Danish yang dijangkiti virus itu pada hari pertama. "Keadaan Danish amat kronik ketika itu. Hampir putus nyawa, malah Danish sendiri akui virus itu amat menyeksanya. Tak sanggup nak tengok kanak-kanak atau remaja menanggung kesakitan virus Covid-19.

"Danish memang seorang yang aktif bersukan dan tiada apa-apa penyakit, cuma Covid-19 ini tak kira sihat atau tidak, bila-bila masa boleh menyerang. Danish bernasib baik sebab kami ambil tindakan cepat dengan membawanya ke hospital," katanya.

Menurut Muhammad, dia percaya pemberian vaksin secara segera kepada golongan remaja mampu melindungi kesihatan dan keselamatan mereka.

"Vaksin adalah salah satu ikhtiar untuk melindungi diri daripada serangan Covid-19. Virus ini sangat menakutkan dan boleh dijangkiti sekelip mata. Kami yang buat persediaan dan berhati-hati pun terkejut apabila Danish boleh dijangkiti virus ini," katanya.

Ditanya mengenai keadaan Danish, Muhammad berkata, Danish kini berada dalam keadaan baik. "Memasuki hari kelima menjalani kuarantin di rumah, Danish kini beransur pulih. Tiada demam, malah bacaan oksigennya juga naik ke 97 peratus. Tapi masih ada batuk dan tiada deria rasa serta bau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 4:33 PM