MUHAMMAD (tengah) bersama dua lagi pemain ketika sesi pengenalan pemain bersama Kelab Annecy FC, Perancis.
MUHAMMAD (tengah) bersama dua lagi pemain ketika sesi pengenalan pemain bersama Kelab Annecy FC, Perancis.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Kemampuan Muhammad Abu Khalil, 17, terpilih menjalani latihan percubaan bersama kelab di Perancis dan Luxembourg, seharusnya menjadi kebanggaan penduduk di Jempol dengan pencapaian dalam sukan bola sepak.

Malah pemilihan pemain yang ketika ini menjalani latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) turut menggembirakan bapanya, Abu Khalil Isa Rahmat, 45, dan ibunya, Fauziah Kudus Ahmad, 40.

Abu Khalil berkata, anak ketiga daripada lapan beradik itu menunjukkan minat terhadap sukan bola sepak sejak di sekolah rendah dan pernah bermain mewakili Negeri Sembilan dalam pelbagai pertandingan.

Katanya sebagai ibu bapa, dia menggalakkan setiap minat anaknya itu dan tidak jemu memberi sokongan.

"Kebiasaan saya atau ahli keluarga akan menghantarnya ke mana sahaja lokasi jika dia ada perlawanan dan akan mengupah orang lain sekiranya tidak dapat berbuat demikian.

"Saya tidak melarang dia memilih kerjaya sebagai pemain bola sepak, malah pernah membelikannya hadiah kasut bola berharga RM1,500 ketika dia berusia 14 tahun dan sudah menjalani latihan di AMD," katanya.

Abu Khalil berkata, latihan percubaan bersama dua kelab iaitu Annecy FC di Perancis dan Racing FC di Luxembourg dari 2 Jun hingga 19 Jun ini bakal membolehkannya melebarkan sayap di Eropah.

Katanya, dia bersyukur apabila anaknya dan dua lagi pemain dari AMD terpilih menjalani latihan di sana dan berharap dia menjalani latihan serta menunjukkan kebolehan dimiliki.

Difahamkan, pelajar tingkatan lima itu sudah menandatangani kontrak selama tiga tahun untuk bermain bersama Selangor FC.

Selain Muhammad, dua lagi pemain AMD yang terpilih menjalani latihan di sana adalah Mohammad Haykal Danish dan Rohisham Haikal.

AMD dalam satu kenyataan di Facebook menyatakan, ketiga-tiga mereka adalah antara pemain terbaik AMD generasi 2005 apabila Mohammad Haykal Danish dan Rohisham Haikal pernah bermain bersama kelab Paris Saint-Germain ( PSG ) bawah 13 tahun pada 2018 manakala Muhammad adalah pemain utama skuad Piala Presiden AMD yang kini berada di tangga pertama dalam kedudukan saingan Piala Presiden 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 5:27 PM