GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Dua lelaki yang juga polis bantuan sebuah pusat beli-belah di sini, ditahan polis semalam, selepas disyaki memeras ugut pasangan kekasih dan mengambil wang RM1,000 milik mangsa.

Polis bantuan yang masing-masing berusia 25 dan 32 tahun itu disyaki meminta wang ganjaran RM500 daripada mangsa yang didakwa berkhalwat dengan teman wanitanya dalam kereta di belakang pusat beli-belah berkenaan, jam 10 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa diugut oleh suspek yang memberitahu tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka sekiranya menyerahkan wang RM500.

"Mangsa bagaimanapun memaklumkan tidak mempunyai wang tunai mencukupi sebelum suspek meminta dia menyerahkan kad ATM beserta nombor pin bagi membolehkan mereka mengeluarkan sendiri wang terbabit.

"Tidak lama selepas mangsa dilepaskan, dia menerima pesanan ringkas di telefon bimbit memaklumkan terdapat pengeluaran berjumlah RM1,000 daripada akaun bank miliknya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Raub berkata, mangsa berusia 25 tahun itu kemudian membuat laporan polis pada jam 11.23 pagi semalam.

"Siasatan awal dibuat mendapati kedua-dua suspek adalah anggota polis bantuan warga tempatan yang bertugas di kawasan bangunan pusat beli-belah berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek ditahan 9 malam tadi (semalam) dan kita turut merampas wang tunai berjumlah RM1,000," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 3:38 PM