KUMAR, gambar fail. FOTO Bernama
KUMAR, gambar fail. FOTO Bernama
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua anggota polis yang disyaki memeras ugut dan meminta wang RM2,000 daripada seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, ditahan tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, anggota polis lelaki berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan 1.50 tengah hari oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan 12.23 tengah malam berhubung kejadian.

"Siasatan awal mendapati, mangsa berusia 29 tahun melalui BSI untuk pemeriksaan imigresen ditahan oleh suspek, kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

"Suspek memeras ugut mangsa supaya membayar RM2,000 bagi mengelak ditangkap dan ditahan di lokap polis," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dibawa di Mahkamah Johor Bahru untuk permohonan reman esok," katanya.

Pagi tadi, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim mendakwa kejadian itu berlaku pada 2 April lalu.

Mangsa mendakwa ditemani seorang daripada anggota terbabit untuk ke beberapa mesin ATM bagi mengeluarkan duit, biarpun menyatakan tiada wang di bank.

Tindakan mangsa yang berpura-pura sesak nafas selepas mengambil wang berjumlah RM1,000 di sebuah bank di Taman Pelangi berjaya melepaskannya, dengan bantuan pasangan tempatan yang melalui kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 9:28 PM