Suraya Yaacob menyerahkan bantuan makanan asas kepada penerima orang kurang upaya (OKU) Sharol Nizam Ibrahim,36, yang turut menerima bantuan menaik taraf sistem pendawaian elektrik di rumahnya di Pendang. Foto Noorazura Abdul Rahman
Suraya Yaacob menyerahkan bantuan makanan asas kepada penerima orang kurang upaya (OKU) Sharol Nizam Ibrahim,36, yang turut menerima bantuan menaik taraf sistem pendawaian elektrik di rumahnya di Pendang. Foto Noorazura Abdul Rahman
Oleh Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Gagal selenggara atau pemasangan tidak sempurna menjadi penyumbang utama kes kemalangan elektrik yang menyaksikan seramai 565 maut daripada 1,130 kes yang direkodkan di seluruh negara sejak 2002 hingga kini.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST), Mohd Elmi Anas berkata, hasil analisa kes kemalangan elektrik yang disiasat ST mendapati 35.7 peratus disebabkan faktor berkenaan.

Katanya, 31 peratus kes dikenal pasti berlaku disebabkan kegagalan mematuhi prosedur kerja selamat.

"Contohnya di Pulau Pinang dan Kedah terdapat empat kes maut membabitkan kemalangan elektrik tahun ini sekali gus meningkat berbanding tahun lalu hanya satu kes.

"Empat kes kemalangan maut ini berlaku di tempat kerja iaitu ada antaranya pekerja di sebuah kilang dan juga pengawal keselamatan yang terkena renjatan elektrik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Touchpoint TN menaik taraf sistem pendawaian usang 11 rumah pelajar asnaf di Pusat Khidmat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang di sini, hari ini.

Turut hadir ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Mengulas lanjut, Mohd Elmi berkata, kesedaran pengguna mengenai keselamatan elektrik sangat penting bagi membantu mengurangkan kemalangan.

Katanya, pengguna perlu membeli kelengkapan elektrik diluluskan ST dan mempunyai label SIRIM-ST yang sah.

"Pengguna tidak boleh mengubah suai kelengkapan elektrik sekiranya tidak mempunyai kemahiran atau kompeten serta perlu elak daripada mengguna kelengkapan elektrik dalam keadaan basah.

"Orang ramai juga tidak boleh menghampiri talian atas elektrik ketika membawa galah panjang atau menjalankan aktiviti memotong dahan pokok, mengait buah-buahan, memancing dan sebagainya.

"Malah pengguna juga perlu menggunakan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST bagi melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik atau kerja elektrik lain," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Elmi turut memberitahu terdapat 30,384 kes usikan pepasangan meter (KUPM) dilaporkan sejak Januari hingga November tahun ini.

Katanya, antara kes KUPM adalah membabitkan pengguna yang tertipu dengan tawaran pihak tertentu untuk menjimatkan elektrik di premis atau rumah mereka dengan memasang alat untuk menjimatkan elektrik.

"Ia akan mengganggu meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan menunjukkan penggunaan elektrik lebih rendah daripada jumlah sebenar sekali gus menyebabkan kerugian kepada TNB. Pemilik premis boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 4:01 PM