ANGGOTA Hazmat Shah Alam bersama bomba memeriksa saluran paip gas ammonia yang mengalami kebocoran. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA Hazmat Shah Alam bersama bomba memeriksa saluran paip gas ammonia yang mengalami kebocoran. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Sebuah kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak di sini mengalami kebocoran gas ammonia pada satu daripada saluran paip gas itu di kilang terbabit, hari ini.

Bagaimanapun, ketika kebocoran berlaku 1.10 tengah hari itu, 463 pekerja kilang di tempat kejadian dilaporkan terselamat daripada terhidu gas berkenaan.

Difahamkan, kejadian disedari pekerja yang melihat kebocoran pada saluran paip gas berkenaan di kilang itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.20 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikerahkan ke lokasi dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam.

"Sebaik tiba, pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran pada saluran paip gas ammonia yang menghasilkan bau amat kuat.

"Bomba dengan pihak pengurusan kilang kemudian melakukan pemantauan menyeluruh dan menutup semua injap saluran gas berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, tindakan pengosongan dilakukan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Ketika ini, keadaan masih terkawal dan akan dipantau secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 6:13 PM