TONG mengandungi ammonia terbalik dan menyebabkan kebocoran gas di Jalan Sungai Timun-Lubuk China, di sini, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
TONG mengandungi ammonia terbalik dan menyebabkan kebocoran gas di Jalan Sungai Timun-Lubuk China, di sini, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Ahmad Hasbi


Rembau: Berlaku kebocoran gas ammonia susulan tong yang mengandungi bahan kimia itu terjatuh dari treler di Jalan Sungai Timun-Lubuk Cina, di sini, pagi tadi, menyebabkan laluan di kedua-dua arah ditutup lebih tiga jam.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, pemandu treler yang dalam perjalanan dari Melaka ke Sungai Buloh tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan menerima rawatan awal.

Komander Unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kebocoran bahan kimia jam 9.57 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota dibantu BBP Seremban 2 dan Masjid Tanah, Melaka bersama pasukan Hazmat Masjid Tanah serta Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati tong yang mengandungi bahan kimia masing-masing seberat 68 kilogram terjatuh dari lori treler dan mengalami kebocoran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasukan Hazmat menubuhkan pos kawalan dan membuat isolasi seluas radius 100 meter.

"Tindakan seterusnya adalah membuat zon kawalan bahan berbahaya dan melakukan pengesanan mengenai bahan yang dilaporkan bocor. Penemuan mendapati bahan yang dibawa adalah ammonia Anhydrous.

"Pengesanan juga mendapati bahan adalah dalam bentuk gas disahkan ammonia dengan bacaan melebihi 300 ppm. Kami melakukan operasi mengikut prosedur kesesuaian situasi sebelum mengambil bacaan dan mendapati ia turun ke 80 ppm dan kawasan lokasi sekitar bacaan di bawah 30 ppm. 'Water Fog' dilakukan sehingga bacaan turun ke 10 ppm," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudiannya memantau bacaan bahan kimia di lokasi kejadian dan menunggu kren bagi mengangkat tong yang mengalami kebocoran.

"Pemandu treler berusia dalam lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan serius, namun diberikan rawatan awal dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Bahan ini boleh menjejaskan pernafasan manusia, malah memberi kesan terhadap tumbuh-tumbuhan di kawasan kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 6:38 PM