ANGGOTA HAZMAT dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bersiap sedia bagi melakukan pemeriksaan kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di Kawasan Perindustrian Cheng. FOTO AMIR MAMAT
ANGGOTA HAZMAT dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bersiap sedia bagi melakukan pemeriksaan kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di Kawasan Perindustrian Cheng. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


ANGGOTA bomba mengambil masa hampir lima jam untuk membaiki kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di Taman Teknologi Cheng di sini, semalam.

Ketua Bahagian Operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat negeri, Pegawai Bomba Kanan Dua Mohd Sharulnizam Sidek berkata, terdahulu, pada 8.59 pagi, pihaknya menerima panggilan berkaitan perkara kecemasan terbabit.

“Lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan 11 anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bergegas ke lokasi dan tiba 9.12 pagi.

“Maklumat mengenai kebocoran gas itu yang kami terima pada awalnya tidak dapat dikenal pasti sehingga ia disahkan oleh pasukan HAZMAT.

“Pada peringkat awal. kami dapati bacaan gas ammonia di kawasan berkenaan adalah pada 220 PPM (‘parts per million’) lalu kita melakukan pengalihan serta pengurangan kadar PPM.

“Alhamdulillah, ketika ini kebocoran ini dapat dikawal pada 20 PPM,” katanya ditemui selepas mengetuai operasi itu di sini.

Beliau berkata, insiden kebocoran gas itu tidak menyebabkan kematian atau kecederaan dan operasi berkenaan tamat 1.50 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 5:46 PM