Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Seramai 200 pelajar daripada 10 sekolah rendah dan menengah diberi peluang meneroka Reruai Dinoland kendalian The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Karnival Jom Heboh (KJH) BABA'S, di sini, hari ini.

Pengurus Besar Jabatan Pengedaran dan Jualan NSTP, Prakash D Munusamy, berkata ia adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya sempena KJH BABA'S kali ini.

Katanya, semua pelajar berkenaan diberi masuk secara percuma untuk meneroka sendiri zaman purba dinosaur selain diberi akhbar serta cenderamata NSTP sebagai kenang-kenangan.

"Antara sekolah yang terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1, SK Chenulang, SK Bukit Jawa, SK Hamzah 2, SMK Tanah Merah 1 dan SMK Zainab 2.

"Selain itu, peluang ini juga sebagai salah satu pendidikan melalui aktiviti luar sekolah. Selain mereka hadir untuk menyertai peraduan lain yang disediakan di KJH, dalam masa sama mereka dapat merasai pengalaman di Dinoland.

"Terdapat 10 replika dinosaur yang disediakan di Dinoland yang boleh memberi pengalaman baharu kepada anak-anak dan ternyata ia mendapat sambutan bermula pada hari pertama sehingga hari ini.

"Peserta dan guru pengiring juga rata-ratanya teruja dengan konsep Dinoland yang dibawa oleh NSTP," katanya ketika ditemui di Reruai Dinoland NSTP di Karnival Jom Heboh (KJH) BABA'S, di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN 200 pelajar daripada 10 sekolah rendah dan menengah diberi peluang meneroka reruai Dinoland kendalian  NSTP di KJH BABA'S. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN 200 pelajar daripada 10 sekolah rendah dan menengah diberi peluang meneroka reruai Dinoland kendalian NSTP di KJH BABA'S. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) yang juga Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 2, Nuzanika Sabri, 14, mengakui ia adalah kali pertama dia memasuki Dinoland dan ternyata ia memberi suatu pengalaman baharu.

"Saya dapat melihat sendiri dinosaur robotik dengan audio yang sangat mengujakan. Kami juga dapat mempelajari banyak informasi atau fakta berkenaan dinosaur berkenaan.

"Tambahan pula, saya sendiri teruja untuk tahu mengenai NSTP kerana akhbar seperti Berita Harian, Harian Metro dan News Straits Times sudah tidak asing lagi bagi saya," katanya.

Pengunjung yang hadir ke KJH BABA'S kali ini boleh merasai pengalaman memasuki Dinoland dengan bayaran tiket hanya RM20 untuk satu keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 4:33 PM