RAKAMAN video menunjukkan api api loji tenaga nuklear itu selepas dibedil tentera Rusia. FOTO Zaporizhzhya NPP/ YouTube/ Reuters
RAKAMAN video menunjukkan api api loji tenaga nuklear itu selepas dibedil tentera Rusia. FOTO Zaporizhzhya NPP/ YouTube/ Reuters
AFP

Kyiv: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menuduh Moscow pada Jumaat menggunakan keganasan nuklear dan mahu "mengulangi" bencana Chernobyl selepas menyatakan penceroboh tentera Rusia menyerang loji tenaga nuklear.

Zelensky merayu pemimpin dunia supaya sedar dan menghalang Eropah daripada 'mati akibat bencana nuklear' selepas loji terbesar di benua itu terbakar selepas ia dibedil.

"Tiada negara selain Rusia yang pernah menembak unit kuasa nuklear.

"Ini adalah kali pertama dalam sejarah kita. Dalam sejarah manusia. Negara pengganas kini menggunakan keganasan nuklear," katanya dalam mesej video yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Stesen di Zaporizhzhia itu, sebuah bandar perindustrian di tenggara, membekalkan kira-kira 40 peratus tenaga nuklear untuk Ukraine..

Menurut Zelensky, ia menempatkan enam daripada 15 reaktor Ukraine.

Menurut Kyiv, kebakaran bermula selepas tentera Rusia melepaskan tembakan ke arah kemudahan itu.

"Ini adalah kereta kebal yang dilengkapi dengan pengimejan terma, jadi mereka tahu di mana tembakan dilepaskan," kata Zelensky.

Bagaimanapun, pegawai tempatan kepada badan pemerhati atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan peralatan penting di stesen itu tidak terjejas dan tahap radiasi adalah normal.

Kemudahan nuklear Ukraine menjadi titik kebimbangan utama selepas tentera Rusia menyerang negara itu minggu lalu dan mula membedil bandar dengan peluru dan peluru berpandu.

"Jika berlaku letupan, ia adalah penghujung segala-galanya. Penghujung Eropah.

"Hanya tindakan Eropah segera yang boleh menghentikan tentera Rusia," kata Zelensky.

Dalam pada itu, AFP dalam laporan berasingan melaporkan kebakaran itu sudah dipadamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 1:33 PM