Meor Riduwan Meor Ahmad


BURUH dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol anak tirinya berusia 14 tahun empat bulan ketika kejadian pada akhir September 2017.

Hakim Najwa Che Mat membuat keputusan hukuman itu selepas menimbangkan fakta kes, hujah pendakwaan dan rayuan tertuduh.

Beliau menegaskan mahkamah berpendapat tiada peringanan hukuman wajar diberikan kepada tertuduh biarpun lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

"Berdasarkan fakta, saya bersetuju dengan pendakwaan bahawa kesalahan dilakukan tertuduh amat serius dari segi perundangan dan agama.

"Perbuatan ini amat keji kerana kamu sudah berkahwin dengan ibunya.

"Kamu boleh melakukan hubungan (seks) yang halal dengan isteri, tapi pilih untuk melakukan (rogol) anak tiri kamu.

"Kesalahan ini amat berat dan perlu dikenakan hukuman berat, " katanya ketika menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Beliau menetapkan tertuduh yang berusia 43 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 18 Oktober 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan haram dengan mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di Pokok Sena pada penghujung September 2017, kira-kira 11 malam.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur berhujah supaya tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan amat serius dari segi hukum syarak dan perundangan.

Katanya, akibat diperkosa oleh tertuduh, mangsa kini trauma untuk berdepan masyarakat.

"Perbuatan tertuduh seperti bidalan Melayu 'harapkan pegar, pegar makan padi', saya pohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat," katanya.

Beliau turut membentangkan fakta kes antara lain menunjukkan tertuduh dalam keadaan berbogel menyelinap ke bilik tidur mangsa lalu menindih badannya menyebabkan mangsa terjaga dan terkejut dengan perbuatan bapa tirinya itu.

"Tertuduh kemudian menekup mulut mangsa sebelum menanggalkan pakaian dan memperkosanya.

"Mangsa mengadu perkara itu kepada ibu saudaranya sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Pokok Sena," katanya.

Rehab berkata, siasatan kes dilakukan oleh Inspektor Esmahaslia Abu Bakar mendapati mangsa dirogol oleh bapa tirinya itu dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 4:53 PM