BARANG yang dirampas dari seorang pengurus produksi di hadapan sebuah restoran di Setapak, Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO IHSAN PDRM
BARANG yang dirampas dari seorang pengurus produksi di hadapan sebuah restoran di Setapak, Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO IHSAN PDRM
Mohd Hasbi Sidek


PENGURUS produksi ditahan kerana disyaki mengedar dadah berikutan penemuan bahan terlarang itu dianggarkan bernilai RM5,150 dalam keretanya di hadapan sebuah restoran di Setapak, Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Wangsa Maju pada 3 petang, polis turut merampas pelbagai barang kemas dan sebuah kereta dianggarkan bernilai RM120,000.

Difahamkan, lelaki, 37, itu turut terbabit dalam kongsi gelap selain mempunyai pelbagai rekod jenayah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methaphetamin.

Menurutnya, sepasukan anggota BSJND Wangsa Maju melakukan pemeriksaan ke atas kereta Honda City yang dipandu lelaki terbabit di hadapan restoran berkenaan.

“Kami menemui enam foil aluminium mengandungi lima pil Eramin 5 seberat dua gram dalam poket baju suspek.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui satu beg kecil berwarna hitam berisi 23 peket berisi bahan disyaki dadah jenis heroin, lima peket berisi dadah disyaki methaphetamin dan satu peket disyaki dadah jenis ganja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, turut ditemui dalam beg berkenaan adalah satu kotak berisi satu peket besar dadah disyaki heroin bersama 33 peket kecil berisi dadah disyaki heroin.

Katanya, secara keseluruhan, pihak polis merampas heroin seberat 242.58 gram, Eramin 5 (dua gram), methaphetamin (16.44 gram) dan ganja (5.55 gram) dengan nilai dianggarkan RM5,150.

“Kami syaki barang kemas dan kenderaan yang digunakan suspek adalah hasil daripada aktiviti pengedaran dadah. Kesemua kemudian dirampas untuk membantu siasatan.

“Suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah disiasat mengikut Seksyen 39 B, Seksyen 39 A(1), Seksyen 6, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 4:46 PM