SAKRI (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket along.
SAKRI (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket along.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik urus niaga kedai pajak gadai. Itu taktik licik sindiket pinjaman wang tanpa lesen iaitu ceti haram atau along yang didalangi individu bergelar Datuk.

Kegiatan haram itu dibantu 34 kakitangan dikesan aktif di beberapa negeri sejak lebih dua tahun lalu.

Bagaimanapun, aktiviti along terbongkar selepas sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membuat serbuan di 11 lokasi di Johor Bahru, Melaka dan ibu kota sejak 21 Ogos lalu hingga kelmarin.

Dalam serbuan berkenaan, 35 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan along serta pinjaman tidak wujud.

Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Senior Asisten Komisioner Sakri Ariffin berkata, mereka termasuk lapan wanita berusia 15 hingga 44 tahun membabitkan dua sindiket berasingan.

“Seorang lelaki bergelar datuk berusia 40-an yang juga dalang sindiket ditahan polis di Johor Bahru.

“Hasil serbuan terhadap 11 lokasi diserbu, empat lokasi dikenal pasti sebagai pusat operasi utama dua sindiket terbabit yang beroperasi di rumah teres.

“Kami merampas 10 kereta, pelbagai dokumen berkaitan transaksi pinjaman, kad ATM, telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai RM1,393 dalam serbuan berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, semalam.

Sakri berkata, sindiket terbabit menggunakan media sosial dan kad perniagaan bagi mempromosikan kegiatan mereka dengan mendakwa kononnya menjalankan perniagaan gadaian bagi mengelak aktiviti itu dikesan pihak berkuasa.

“Kegiatan itu dijalankan dengan berselindung di sebalik perniagaan gadaian yang sebenarnya tidak wujud untuk menarik pelanggan, sekali gus mengelak aktiviti dikesan pihak berkuasa.

“Mangsa dikenakan syarat pinjaman ketat dan kadar faedah 10 hingga 15 peratus daripada nilai pinjaman yang perlu dibayar dalam tempoh dua minggu. Sekiranya gagal berbuat demikian, mereka akan diugut dicederakan, selain kediaman dibaling cat.

“Sindiket juga dikesan menjalankan kegiatan pinjaman tidak wujud dengan meminta mangsa membayar deposit sebelum wang diserahkan kepada mereka. Bagaimanapun, wang pinjaman dijanjikan tidak diserahkan kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, penahanan itu menyelesaikan 18 kes yang direkodkan di seluruh negara membabitkan kerugian RM1.6 juta.

“Semua yang ditahan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951, Seksyen 29AA akta yang sama dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak terbabit dengan kegiatan sindiket along dan pinjaman tidak wujud bagi mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:41 AM