Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sindiket pinjaman wang tanpa lesen (along) dikesan menggunakan modus operandi baharu menawarkan pinjaman dengan mengkehendaki peminjam menyerahkan kenderaan mereka sebagai jaminan.

Perkara itu dibongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menyerbu sebuah premis pejabat di Sungai Besi di sini, 11 Mac lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan berjaya menahan 14 individu warga tempatan terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita ditahan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sindiket berkenaan beroperasi di bawah sebuah syarikat dikenali Renter Solution Tour Sdn Bhd dipercayai menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan mempromosikan aktiviti berkenaan melalui Facebook.

"Untuk mendapatkan pinjaman, peminjam dikehendaki menyerahkan kenderaan mereka kepada syarikat terbabit sebagai jaminan.

"Proses ini memerlukan pelanggan membayar yuran tambahan seperti bayaran penukaran hak milik kenderaan dan pemasangan peralatan sistem kedudukan global (GPS)," katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

RAMLI ketika sidang media di Menara KPJ. FOTO Hazreen Mohamad
RAMLI ketika sidang media di Menara KPJ. FOTO Hazreen Mohamad

Beliau berkata, sebelum menerima wang pinjaman, peminjam juga perlu menandatangani surat persetujuan penjualan kenderaan dan perjanjian sewaan.

"Sekiranya pinjaman gagal dilunaskan, pemilikan kenderaan akan ditukar kepada syarikat milik sindiket tanpa pengetahuan peminjam," katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, kegiatan berkenaan terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa apabila kereta Toyota Vellfire ditukar hak milik selepas membuat pinjaman daripada sindiket terbabit.

Katanya, mangsa membuat pinjaman sebanyak RM20,000 namun hanya menerima jumlah wang kira-kira RM16,000 daripada sindiket terbabit selain keretanya ditukar hak milik.

"Semua tangkapan ditahan reman sehingga hari ini bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) dan 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 4:57 PM